GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima laporan "post mortem" awal daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berhubung kejadian saluran paip pecah bawah permukaan air Sungai Perai, Butterworth dekat sini, dan mengarahkan lima tindakan segera diambil.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara tindakannya ialah PBAPP perlu memantau keadaan saluran paip dasar Sungai Perai yang dibaiki setiap hari, sehingga penyelesaian kekal dapat dilaksanakan.

"Dalam kes ini, penyelesaian kekal ialah memasang saluran paip merentasi sungai yang akan disokong oleh struktur di atas permukaan sungai dengan anggaran kos RM5 juta, dan ia harus disiapkan secepat mungkin pada tahun 2024, bagi membolehkan pemeriksaan berkala dilaksanakan, di samping mengelak perkara serupa berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 200,000 pengguna di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah pada 18 Dis lepas.

Katanya PBAPP juga perlu mengesan dan melaporkan lokasi saluran paip bawah permukaan air yang lain di negeri ini serta harus menjalankan pemeriksaan khusus dalam air bagi semua saluran paip lain untuk memastikan jika terdapat sebarang bahaya atau risiko kemalangan yang serupa.

Chow berkata pasukan pakar perlu sentiasa memeriksa secara berkala semua saluran paip utama iaitu 900mm dan ke atas yang berada di atas tanah dan meneroka kaedah untuk mengesan potensi kecacatan atau kegagalan semua saluran paip utama yang tertanam sebesar 900mm dan ke atas.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri meminta supaya kerja-kerja penggantian saluran paip utama yang usang iaitu sebesar 900mm dan ke atas dipercepatkan.

"PBAP juga perlu memastikan pemulihan perkhidmatan bekalan air untuk 590,000 pengguna air yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual mulai 10 Jan nanti mengikut jadual yang telah diumumkan sebelum ini.

"Bekalan air untuk baki 0.2 peratus pengguna terjejas iaitu kira-kira 1,000 pengguna yang tinggal di kawasan kejiranan hujung paip agihan (HPA) dan tanah tinggi dengan isu khusus, juga mesti dipulihkan secepat mungkin selepas 96 jam," katanya.

Sementara itu, Chow berkata dapatan daripada laporan awal kejadian yang diserahkan oleh PBAPP mendapati punca kejadian itu tidak diketahui, dan sukar untuk dipastikan kerana saluran paip itu terletak di bawah permukaan air iaitu 3.5 meter di dasar Sungai Perai.

Katanya saluran paip pecah itu terpaksa dibaiki segera kerana ia menyebabkan kebocoran yang mengakibatkan penurunan mendadak tekanan pam air kepada 200,000 pengguna air di Pulau Pinang yang telah menjejaskan perkhidmatan bekalan air ke daerah Barat Daya dan beberapa kawasan di Seberang Perai.

-- BERNAMA