Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang hasrat jadi negeri pertama Semenanjung terima pengiktirafan EAAF

Sumber: FB Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena Hari Ulang Tahun ke-85 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, di George Town, hari ini. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang berhasrat menjadi negeri pertama di Semenanjung menerima pengiktirafan rangkaian East Asian-Australasian Flyway (EAAF), menerusi usaha mengangkat kawasan paya laut di Penaga sebagai perlindungan habitat burung hijrah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usaha berkenaan, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memelihara khazanah alam semula jadi, di samping memastikan keseimbangan antara pembangunan, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda pemuliharaan alam sekitar selaras dengan aspirasi Visi Penang 2030, untuk membangunkan sebuah negeri yang hijau, pintar dan berorientasikan keluarga.

“Komitmen ini turut dizahirkan melalui usaha kerajaan negeri untuk mengangkat kawasan paya laut di Penaga sebagai sebahagian daripada rangkaian EAAF, yang bakal menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Semenanjung menerima pengiktirafan tersebut bagi perlindungan habitat burung hijrah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena Hari Ulang Tahun ke-85 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, sehingga kini, keluasan Hutan Simpanan Kekal di Pulau Pinang telah meningkat kepada 6,509.21 hektar, termasuk pewartaan 3,640 hektar kawasan Hutan Tadahan Air bagi memperkukuh jaminan sumber air negeri untuk jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, komitmen Pulau Pinang terhadap agenda daya tahan iklim turut mendapat pengiktirafan antarabangsa, apabila negeri itu memperoleh pembiayaan sebanyak AS$1.95 juta bagi melaksanakan Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP).

Kon Yeow berkata, pelbagai inisiatif berasaskan alam semula jadi termasuk Blue-Green Corridor, kolam takungan banjir dan sistem serapan air akan terus dilaksanakan bagi mengurangkan risiko bencana akibat perubahan iklim, sekali gus memastikan pembangunan negeri kekal mampan.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap agenda jaminan bekalan air menerusi pembinaan Baraj Baharu di Rantau Panjang, Sungai Muda yang dijangka siap pada 2027, manakala Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air 2030, melibatkan pelaburan RM1.185 bilion bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pengagihan air terawat.

Menyentuh aspek kebajikan rakyat, Kon Yeow berkata, agenda keterangkuman sosial akan terus diperkukuh menerusi program i-Sejahtera, yang menjadi antara inisiatif utama kerajaan negeri dalam membantu golongan memerlukan.

Beliau berkata, bagi Fasa 1 Tahun 2026, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan berjumlah RM53.87 juta kepada 285,370 penerima menerusi enam program di bawah i-Sejahtera.

“Secara keseluruhan, dalam tempoh 16 tahun pelaksanaan program itu, sebanyak RM639 juta telah disalurkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement