Pulau Pinang jadi perintis lancar projek dana untuk keluarga Palestin di Gaza

Mohamad (tengah) menghadiri Majlis Kesyukuran, Bacaan Yassin dan Doa Selamat Projek Keluarga Angkat Gaza di Masjid Al-Bukhary, George Town, malam tadi. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melancarkan projek kutipan dana di masjid seluruh negeri itu bagi membantu keluarga Palestin di Gaza meneruskan kehidupan.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata Pulau Pinang menjadi perintis bagi projek itu yang dilaksanakan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Yayasan Nurul Islam.
"Pada 2023 dan 2024, kita juga telah lancarkan kutipan dana dan kerajaan negeri juga turut menyumbang. Kita telah hantar semua kutipan tersebut iaitu lebih RM1 juta pada awal 2024 ke Gaza menerusi Jabatan Perdana Menteri.
"Tahun ini, MAINPP dengan kerjasama Yayasan Nurul Islam dan MAPIM lancarkan lagi projek kutipan dana di 245 masjid untuk bantu keluarga angkat di Gaza, malah akan berbincang untuk buat kutipan khas bagi membina sebuah masjid di Gaza kerana banyak yang telah musnah," katanya pada Majlis Kesyukuran, Bacaan Yassin dan Doa Selamat Projek Keluarga Angkat Gaza di Masjid Al-Bukhary, di sini, malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Mohd Sukki Othman; Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid serta Pengerusi Yayasan Nurul Islam, Prof Madya Shaik Abdullah Hassan.
Sementara itu, Shaik Abdullah berkata dana tersebut akan digunakan bagi menyara keluarga angkat di Gaza termasuk untuk pendidikan, kesihatan, khemah dan membina semula rumah mereka yang musnah.
Beliau berkata projek itu dilaksanakan di masjid di Pulau Pinang sebagai perintis sebelum ia diperluaskan ke negeri lain dan masjid dipilih kerana ia lokasi tumpuan masyarakat Islam.
"Kita akan letakkan kod 'QR' di masjid untuk orang ramai bersama-sama menyumbang. Fasa satu program keluarga angkat Gaza telah bermula Ramadan tahun lepas.
"Kita menampung 33 keluarga angkat di sana dengan menyalurkan sumbangan RM500 setiap keluarga dan Alhamdulillah selama setahun ia dilaksanakan dengan kerjasama serta sokongan oleh MAPIM yang mempunyai wakil di Gaza," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


