GEORGE TOWN: Pulau Pinang memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh agenda pelancongan negeri menerusi Belanjawan 2027, dengan tumpuan kepada peningkatan ketersambungan udara, penganjuran lebih banyak acara antarabangsa serta pemeliharaan warisan George Town.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata langkah itu penting bagi meningkatkan nilai sektor berkenaan, selain memastikan pertumbuhannya terus memberi manfaat kepada ekonomi dan komuniti tempatan.
Beliau berkata antara yang utama ialah mewujudkan dana ketersambungan udara antarabangsa, termasuk geran padanan, bagi menarik lebih banyak penerbangan terus ke Pulau Pinang daripada pasaran strategik seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan Timur Tengah.
“Dengan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang akan menggandakan kapasiti kepada 12 juta penumpang setahun, keutamaan selepas ini adalah memastikan kapasiti tersebut dapat dimanfaatkan dengan laluan baharu dan peningkatan kekerapan penerbangan,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan, projek pembesaran dan pengembangan LTAPP dijangka siap pada Jun 2028.
Wong berkata Pulau Pinang turut memohon dana padanan Persekutuan yang lebih besar bagi membida dan menarik persidangan antarabangsa, pameran, acara sukan, festival, konsert serta acara seni dan budaya berskala besar.
Beliau berkata acara perniagaan telah memberi impak ekonomi sekitar RM1.91 bilion tahun lepas, membuktikan Pulau Pinang berpeluang besar menjadi hab utama acara perniagaan dan acara utama rantau ini dengan kemudahan serta kapasiti baharu.
Katanya, dana tersebut juga boleh digunakan untuk membangunkan kandungan kreatif, produksi, festival tempatan dan harta intelek yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan Dana Pemuliharaan dan Regenerasi George Town UNESCO bagi memastikan bandar warisan itu terus berkembang sebagai sebuah Living Heritage City.
Katanya, peruntukan khusus diperlukan untuk pemuliharaan bangunan warisan, peningkatan ruang awam, keselamatan, akses serta pemeliharaan perniagaan tradisional, artisan dan komuniti yang menjadikan George Town sebuah bandar warisan yang masih hidup.
“Kita tidak mahu hanya memelihara bangunan. Kita perlu memastikan warisan, budaya dan komuniti tempatan terus hidup serta mampu menjana aktiviti ekonomi baharu melalui pelancongan dan ekonomi kreatif,” katanya.
Wong berkata secara keseluruhannya, fokus Pulau Pinang selepas Tahun Melawat Malaysia 2026 perlu beralih daripada mengejar jumlah pelancong kepada pelancongan bernilai tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut memohon supaya formula penyaluran 100 peratus cukai pelancongan kepada negeri-negeri bagi 2026 diteruskan tahun hadapan.
“Memandangkan TMM disambung ke 2027, maka diharapkan penyaluran cukai pelancongan 100 peratus boleh disambung tahun hadapan,” katanya.
Belanjawan 2027 dijangka dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt.
-- BERNAMA