Pulau Pinang pulihkan dua projek RMKu terbengkalai tujuh tahun lepas

Chow (duduk tiga, kiri) pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Kumpulan Mah Sing dengan BakerTilly Malaysia Berkenaan Usaha Pemulihan Dua Projek Rumah RMKu Tergendala, di Komtar, pada Jumaat. --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Dua projek Rumah MutiaraKu (RMKu), iaitu Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton di Balik Pulau yang terbengkalai sejak tujuh tahun lepas bakal dipulihkan semula, sekali gus memberikan kelegaan kepada lebih 500 pembeli.
Ringkasan AI
- Projek Rumah MutiaraKu (RMKu) yang terbengkalai iaitu Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton di Balik Pulau selama tujuh tahun akan dipulihkan semula, memberi kelegaan kepada lebih 500 pembeli.
- Projek tersebut gagal disiapkan disebabkan kekangan kewangan oleh syarikat pemaju sebelum Kumpulan Mah Sing dan BakerTilly Insolvency PLT dilantik sebagai pembiaya dan liquidator untuk memulihkan projek tersebut.
- Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan kerajaan negeri serius menangani projek hartanah yang terbengkalai dengan melibatkan langkah proaktif untuk merangka pelan pemulihan serta memastikan pematuhan prosedur demi melindungi hak pembeli.
"Kita menyasarkan dalam bulan Jun atau Julai dapat menyiapkan satu projek, manakala satu lagi jika boleh siap pada hujung tahun ini, bagaimanapun kerja pemulihan bukanlah mudah kerana banyak komponen di dalam telah dirosakkan serta dicuri.
"Jadi, banyak perkara yang perlu diteliti oleh syarikat yang mengambil alih projek ini, tetapi kita akan menyiapkannya sedaya upaya kerana kita amat prihatin dengan kesulitan yang telah dialami pembeli selama ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Kumpulan Mah Sing dengan BakerTilly Malaysia Berkenaan Usaha Pemulihan Dua Projek Rumah RMKu Tergendala di Daerah Barat Daya, iaitu Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton di Komtar, pada Jumaat.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekuif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Voon Tin Yeow serta Ketua Pegawai Eksekutif Anak Syarikat Hartanah Kumpulan Mah Sing, Yeoh Chee Beng, manakala BakerTilly Malaysia diwakili Rakan Kongsi Pengurusan, Pemulihan dan Penstrukturan, Kumar Jai dan Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan, Andrew Heng dengan disaksikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Chow berkata, kerajaan negeri memandang serius isu projek sakit di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus atau telah tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (SPA).
"Kedua-dua projek tersebut telah hampir selesai ditawarkan kepada pembeli dan SPA mula ditandatangani pada Oktober dan November 2017. Kerajaan negeri memahami beban ditanggung pembeli termasuk bayaran faedah pinjaman rumah serta kos sewa kediaman sementara, di samping tarikh siap projek yang tidak pasti.
"Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) serta agensi-agensi berkaitan telah mengambil langkah proaktif mengadakan lawatan tapak dan siri mesyuarat bagi merangka pelan pemulihan," katanya.
Beliau berkata, selepas pemeteraian perjanjian itu, pemantauan pelaksanaan projek akan terus dijalankan demi memastikan segala prosedur dipatuhi bagi menjamin serta melindungi hak pembeli.
Seorang pembeli yang juga kakitangan kerajaan, Mohd Danial Rasydan Razak, 40, meluahkan rasa syukur kerana akhirnya rumah pertama dibeli yang terbengkalai sejak sekian lama akan disiapkan tidak lama lagi.
Mohd Danial yang membeli rumah itu pada 2020 berasa ralat kerana perlu menanggung bayaran bulanan tinggi kepada bank, namun kecewa rumah masih belum disiapkan.
"Saya tinggal bersama-sama keluarga berdekatan projek rumah tersebut, jadi setiap hari pergi kerja akan lalu di situ, tetapi kecewa sebab tidak ada kemajuan. Saya sangka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat projek akan diteruskan, sebaliknya tidak.
"Namun, hari ini saya dan pembeli lain dapat berita baik, sekurang-kurangnya ada sinar untuk kami melihat projek ini siap dan boleh diduduki," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


