BUKIT MERTAJAM: Elaun guru dan ketua guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Pulau Pinang masing-masing dinaikkan RM200 kepada RM1,700 dan RM1,800 sebulan berkuat kuasa Oktober ini.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata kenaikan itu hasil daripada kekukuhan kutipan zakat semasa dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan guru KAFA terus terbela.
"Kenaikan ini kali kedua selepas kadar elaun itu dinaikkan sebanyak RM200 pada 1 Julai 2025 yang melibatkan tambahan RM3.96 juta daripada sumber zakat menjadikan keseluruhan komitmen tahunan sebanyak RM11.19 juta.
"Kenaikan itu melibatkan 1,650 guru di 208 premis KAFA dan 14 sekolah berkaitan KAFA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Guru KAFA, Pegawai Masjid dan Siak 2026 Masjid Al-Muhajirin di Seberang Jaya hari ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu berkata Waktu Kehadiran Bertugas (WKB) guru KAFA turut diselaraskan kepada empat jam sehari iaitu 30 minit sebelum hingga 30 minit selepas sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi menjamin keselamatan 60,000 murid.
Mohamad berkata WKB itu bermula dengan peringkat penyesuaian dari 1 Okt hingga 31 Dis sebelum peringkat pelaksanaan penuh bermula pada 2 Jan 2027.
Beliau berkata pada tahun lepas, kerajaan negeri turut memperkenalkan bantuan bersalin sebanyak RM2,200 kepada guru KAFA, selain menyeragamkan hari operasi premis KAFA kepada lima hari seminggu dan semua guru KAFA wajib mengikuti latihan tahunan.
Sementara itu, beliau berkata elaun 1,364 pegawai masjid dan siak lantikan kerajaan negeri turut dinaikkan mulai Oktober ini, melibatkan imam, bilal dan siak di masjid pengurusan serta masjid kariah dengan tambahan peruntukan RM1.76 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM3.426 juta setahun.
"Bagi sembilan masjid pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), elaun imam dinaikkan daripada RM400 kepada RM1,000 sebulan, manakala elaun bilal dan siak masing-masing meningkat RM300 kepada RM800.
"Untuk 209 masjid kariah pula, elaun imam, bilal dan siak masing-masing dinaikkan RM100, menjadikan elaun imam RM950 manakala bilal dan siak RM600 sebulan. Semakan terakhir elaun pegawai masjid dan siak dibuat pada 2023," katanya.
Mohamad berkata 32 imam, 16 bilal dan 16 siak kini berkhidmat di sembilan masjid pengurusan JHEAIPP termasuk Masjid Negeri, Masjid Daerah dan Masjid Bandaraya manakala masjid kariah pula terdapat 436 imam, 432 bilal serta 432 siak.
-- BERNAMA