MALAYSIA
Pulau Pinang usaha warta 10 makanan tradisi sebagai warisan kebangsaan

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai (dua, kiri) melawat reruai sempena Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di UiTM Cawangan Pulau Pinang, hari ini. - Foto BERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang mencalonkan 10 makanan tradisinya kepada Jabatan Warisan Negara untuk diwartakan sebagai warisan kebangsaan sebagai usaha memelihara warisan kulinari negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata 10 jenis makanan itu ialah nasi kandar, pasembor, char kuekak, mi Hokkien, mi Jawa, oh chien, mi udang, mi sotong, kerabu bihun dan roti Benggali.
"Pencalonan telah dikemukakan kepada Jabatan Warisan Negara baru-baru ini dan sedang melalui proses penilaian sebelum makanan terbabit diiktiraf secara rasmi sebagai warisan kebangsaan.
"Langkah pewartaan ini penting kerana ia bukan sekadar memastikan kelestarian khazanah makanan diwarisi turun-temurun, tetapi juga memastikan warisan gastronomi Pulau Pinang terus dilindungi, dipromosi dan dimartabatkan agar dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang," katanya.Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara merangkap Pesuruhjaya Warisan Mohamad Muda Bahadin.
Wong turut berharap lebih banyak makanan warisan di Pulau Pinang dapat diwartakan sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Sementara itu, Mohamad Muda berkata 10 makanan itu telah melepasi peringkat penilaian jawatankuasa pakar dan sedia untuk diisyhtihar sebagai warisan kebangsaan tidak lama lagi.
"Antara kriteria dinilai ialah makanan terbabit masih dihasilkan oleh sesebuah komuniti di negeri itu. Paling penting, untuk mengiktiraf sesuatu makanan warisan, komuniti itu sendiri yang berperanan melestarikan hidangan tersebut," katanya.
Pada masa ini terdapat 213 makanan dari pelbagai negeri dan etnik di Malaysia telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan antaranya char kuetiau, kuih angku, pulut tekan dengan seri kaya, laksa, pie tee dan gerang asam.
Terdahulu, bertemakan "Memartabatkan Makanan Warisan", persidangan selama dua hari itu merupakan acara dwitahunan anjuran Jabatan Warisan Negara, sekali gus menjadi platform percambahan serta perkongsian ilmu antara pakar, agensi kerajaan, ahli akademik, penggiat dan komuniti berkaitan cadangan perlindungan warisan tidak ketara negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami