KUALA LUMPUR: Pendekatan Plan-Do-Check-Act (PDCA) yang digunakan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dalam menyelesaikan projek sekolah daif mendapati punca kelewatan pembinaan sekolah daif antaranya disebabkan faktor kapasiti kontraktor dan tenaga buruh.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata selain itu, proses kerja yang tegar serta undang-undang sedia ada turut mempengaruhi kelewatan pembinaan projek sekolah daif.

"Hal ini menyebabkan tempoh pembinaan projek sekolah daif agak lama ... justeru dalam hal ini, STAR telah mencadangkan penambahbaikan melibatkan beberapa proses kerja agar tempoh pembinaan dapat dipendekkan, dalam masa sama memastikan kualiti kerja yang baik antaranya tempoh 43 hari dikurangkan dalam fasa prapembinaan, manakala tempoh masa mendapatkan kebenaran meroboh aset mudah alih struktur bangunan dipendekkan kepada 47 hari sahaja.

"Secara keseluruhannya, tempoh masa untuk sempurnakan sesebuah projek selepas penambahbaikan ialah minimum 133 hari berbanding sebelum ini yang mengambil tempoh hingga 270 hari," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui pendekatan PDCA yang diaplikasikan STAR dapat menyelesaikan satu-satu projek melibatkan sekolah daif di negeri yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata terdapat tiga sekolah dijadikan sebagai projek rintis bagi mengkaji keberkesanan cadangan STAR iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Sekolah Kebangsaan Tan Sri Ghazali Jawi, Perak dan Sekolah Kebangsaan Sri Adika Raja, Perak.

"Setakat ini, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi yang melibatkan pembinaan empat bilik darjah dan dua tandas sudah berjaya disiapkan dan diserahkan dalam empat bulan, manakala dua sekolah lagi masih dalam pelaksanaan," katanya.

Kulasegaran berkata beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi mengurangkan tempoh pembinaan sekolah daif antaranya kebenaran waktu bekerja lebih panjang untuk melipatgandakan pembinaan, proses pembayaran kepada kontraktor dipendekkan dan pelupusan aset mudah alih iaitu struktur bangunan dipermudah.

-- BERNAMA