Warga pendidik di sekolah diharap dapat memainkan peranan dalam memupuk gaya pengambilan makanan sihat di sekolah dalam usaha mencegah obesiti dalam kalangan pelajar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata guru memainkan peranan penting dalam mengawasi apa yang dimakan murid-murid ketika berada di sekolah.

“Garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan telah dikeluarkan dalam memastikan hanya makanan sihat dijual di kantin sekolah.

"Malah pakar pemakanan juga telah diarahkan untuk mengadakan program bersama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) agar maklumat mengenai pemakanan sihat dapat dikongsi bersama ibu bapa,

“Tetapi guru-guru juga perlu menjadi mata-mata kepada usaha ini kerana kebanyakan masa anak-anak dihabiskan di sekolah,” katanya selepas merasmikan “Kem Nak Sihat” peringkat Kampung Simpang Loi, Segamat di SK Spang Loi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Subramanium berkata kira-kira 80 hingga 85 peratus rakyat negara ini tidak suka makan sayur dan buah-buahan selain hanya menjamah lauk dan nasi semata-mata.

Jelasnya, gaya pengambilan makanan yang diamalkan itu tanpa disedari memberi kesan yang buruk dan menyebabkan kira-kira 45 peratus rakyat di negara ini mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.