KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (Malaysian Centre for 4IR) di Malaysia sememangnya menyasarkan peningkatan pelaburan dari luar, namun apa yang lebih penting ialah memastikan penglibatan pemain industri tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, peranan pusat itu penting dalam mewujudkan ekosistem berterusan dan rantaian tenaga kerja untuk merangsang pelaburan langsung domestik.

"Pelaburan luar akan bantu tapi yang lebih penting, pusat ini adalah untuk pemain industri tempatan kerana apabila pemain industri masuk, syarikat multinasional masuk. Mereka memerlukan ekosistem yang sesuai untuk bantu mereka, untuk menyokong syarikat multinasional besar.

"Maka, PKS penting untuk membekalkan perkhidmatan, penyelenggaraan dan sebagainya.

"Saya fikir adalah penting bagi industri kita untuk bersedia kerana apabila pelaburan besar dari luar masuk, pelabur tempatan dan domestik terus melabur, kita mahu seluruh ekosistem, keseluruhan rantaian bekalan terutamanya PKS, turut terlibat," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan Pusat Malaysia untuk 4IR, sebuah pusat bebas dalam ekosistem global Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menghimpunkan pemimpin kerajaan dan perniagaan, ahli akademik serta pakar untuk mewujudkan hab inovasi dan kepakaran untuk membuka potensi teknologi.

Ia merupakan pusat pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan ke-19 di peringkat global.

Tengku Zafrul ditemui selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pada Selasa.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, turut berkenan berangkat ke majlis itu.