MELAKA: Enam penunggang motosikal cedera selepas dirempuh sebuah Proton Wira yang hilang kawalan di Jalan Taming Sari berhampiran Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Tengah awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.27 pagi itu, semua mangsa berusia antara 23 hingga 29 tahun mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka pada anggota badan, kecederaan pada bahagian mulut serta disyaki patah kaki.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas dua Proton Wira bergesel sebelum salah sebuah daripadanya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan arah.
Menurut beliau, kedua-dua kereta itu dalam perjalanan dari arah Bandar Melaka menghala ke Lebuh AMJ manakala enam motosikal terbabit datang dari arah bertentangan.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Wira dipercayai sedang menukar lorong dari kiri ke kanan sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi Proton Wira.
"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan arah dan merempuh enam motosikal terbabit," katanya.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala kedua-dua pemandu kereta berusia 21 dan 36 tahun tidak mengalami kecederaan.
Muhammad Zaki berkata ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati mereka negatif dadah, manakala semua kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa kedua-dua Proton Wira itu sedang berlumba sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Sinar Harian