KUALA LUMPUR: Pusat Pengajian Islam Oxford di United Kingdom memberikan penghormatan kepada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, bekas Ketua Setiausaha Negara yang meninggal dunia semalam pada usia 82 tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama, Pengarahnya Dr Farhan Nizami berkata Ahmad Sarji akan sentiasa diingati atas galakan dan sokongannya terhadap hasil karya pusat itu.

"Kami bertuah kerana mendapat khidmat Tun sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah selama lebih dua dekad.

"Allahyarham berkhidmat dengan penuh cemerlang dan komitmen yang tinggi malah setiap nasihat bernasnya akan sentiasa dirindui," katanya sambil menambah pusat itu terkejut dan berduka ketika mendengar berita mengenai pemergian Ahmad Sarji.

BACA: Mengenang Tun Ahmad Sarji: Anda seorang pemimpin? Ini 6 kebolehan yang perlu ada

BACA: Tun Ahmad Sarji: Keluarga Malaysia kehilangan negarawan, tokoh perkhidmatan awam - PM

Pusat Pengajian Islam Oxford ditubuhkan pada 1985 untuk mempromosi pelbagai budaya dan peradaban serta penyelidikan yang menangani keperluan masyarakat Islam kontemporari.

Pusat itu beroperasi di bawah naungan Putera Wales dan dianugerah Piagam Diraja oleh Ratu Elizabeth II pada 2012.

Ia menyediakan kemudahan serta tempat pertemuan di Oxford untuk golongan terpelajar dari seluruh dunia dan mempromosi dialog antara budaya serta tradisi akademik yang berbeza.

Felow di pusat itu yang juga pensyarah pengajian Islam di Fakulti Teologi di Universiti Oxford Datuk Dr Afifi al-Akiti pula berkata sikap berkecuali dan berhemah Tun Ahmad Sarji dalam politik harus dicontohi generasi sekarang terutama penjawat awam.


Buletin AWANI Khas: Mengenang Tun Ahmad Sarji

Beliau berkata ketegasan Ahmad Sarji dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara telah menjadikannya seorang tokoh yang dihormati dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik.

"Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya bekerja dengan beliau, Tun adalah seorang suri teladan dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik," katanya kepada Astro AWANI dalam satu temu bual dari Oxford.

-- BERNAMA