KUALA LUMPUR: Sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak, Cheras di sini diarah tutup kerana beroperasi dalam keadaan daif dan menjijikkan dalam operasi dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa.

Menerusi kenyataan di Facebook DBKL, pemeriksaan pada jam 1 pagi itu mendapati, lantai dan dinding di ruang pemprosesan penyembelihan ayam dalam premis berada dalam keadaan berkarat, berlumut dan berdaki hitam.

Selain itu, semua pekerjanya tidak mendapatkan suntikan tifoid dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan kerana kebanyakan merupakan warga asing.

"Tiada sistem penapisan sisa efluen menyebabkan sisa buangan termasuk darah ayam dialirkan terus ke saliran atau longkang awam.

"Tandas turut kotor serta tiada kelangkapan asas. Malah ayam didapati diproses dan diletakkan di atas lantai," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kata kenyataan itu, seramai 21 orang anggota terlibat dalam operasi pemeriksaan DBKL bersama agensi sahabat iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ujar kenyataan itu, dua kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 23(3)(b)- UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Amaran dan nasihat berhubung kehendak-kehendak kesihatan yang perlu dipatuhi telah diterangkan kepada pelesen dan pekerja premis.

"Notis Perintah Penutupan Di bawah Akta Makanan 1983 dikeluarkan bagi tujuan pembersihan dan penambahbaikan berkuat kuasa serta-merta hingga pemeriksaan susulan akan dijalankan," ujar kenyataan itu.

Selain itu, JAS WPKL turut mengambil sampel air untuk dianalisa serta penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127. - Sinar Harian