PUTRAJAYA:Kerajaan memberi jaminan bahawa kawalan ketat akan dilakukan untuk memastikan simpanan bekalan vaksin berada dalam keadaan selamat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk mengawal Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

Selain itu, kawalan akan turut dilakukan ketika proses penghantaran vaksin di kawasan-kawasan di seluruh negara.

“Saya juga telah mendapat persetujuan daripada Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menghantar polis dan ATM untuk menjaga PSV. Saya percaya polis dan ATM akan membantu bukan hanya di PSV tetapi juga dalam kita menghantar konvoi-konvoi ke seluruh negara.

“Dalam tempoh ini, (kita percaya) vaksin akan menjadi barang yang sangat bernilai,” katanya dalam sidang media Penyelarasan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, pada Rabu.

Beliau berkata ketika menjawab pertanyaan apakah terdapat mekanisme khusus untuk memastikan dos vaksin tidak dicuri atau dijual secara tidak sah.

Malaysia akan menerima bekalan vaksin daripada syarikat vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari ini.

Baca di sini perkembangan vaksin COVID-19.