KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) terus memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi pembiayaan, khidmat nasihat serta latihan tadbir urus dan disiplin kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, usaha membangunkan usahawan tidak terhenti setakat pemberian pembiayaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan sistem tadbir urus dalaman yang kukuh bagi memastikan kelangsungan perniagaan.
Advertisement
Menurut beliau, PUNB menyediakan pelbagai program latihan bagi membantu usahawan memperkukuh aspek tadbir urus selain membentuk disiplin dalam pengurusan aliran tunai dan operasi perniagaan.
“Apabila pembiayaan dan khidmat nasihat diberikan, kita juga perlu pastikan tadbir urus syarikat berada pada tahap yang baik.
“Antara perkara yang penting ialah disiplin dalam menguruskan aliran tunai dan pengurusan kewangan supaya perniagaan dapat berkembang secara mampan,” katanya.
Sementara itu, syarikat usahawan di bawah sokongan PUNB, Glide Technology Sdn Bhd, kini mengembangkan perniagaannya ke segmen minyak alat ubah yang digunakan dalam sistem bekalan elektrik.
Ketua Pegawai Kewangan Glide Technology, Datin Zarita Azlin Ibrahim berkata, syarikat itu sedang membangunkan minyak alat ubah berasaskan kelapa sawit menerusi kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Beliau berkata, produk berkenaan telah menjalani ujian dan kini berada di peringkat akhir sebelum mula dibekalkan ke pasaran.
“Kami telah memperluaskan produk kepada minyak transformer yang digunakan untuk transformer elektrik. Permintaan untuk produk ini sentiasa ada.
“Kami juga bekerjasama dengan MPOB untuk menghasilkan minyak transformer berasaskan kelapa sawit. Ujian telah dijalankan dan kami menyasarkan untuk mula membekalkannya pada hujung tahun ini,” katanya.
Perkembangan itu dijangka membuka peluang baharu kepada Glide Technology dalam sektor tenaga, di samping menyokong inovasi tempatan berasaskan sumber mampan.
Pada masa sama, inisiatif itu mencerminkan peranan PUNB dalam membantu usahawan bukan sahaja dari aspek modal, tetapi juga dalam memperkukuh daya saing dan kapasiti pertumbuhan perniagaan.
Mereka berkata demikian dalam program PuTERA35.