KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara menggariskan tiga pendekatan utama bagi memperkukuh inisiatif "Merakyatkan Muzium" menjelang 2027 bagi memastikan institusi permuziuman terus dinamik dan relevan kepada masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tumpuan pertama adalah memperluas program muzium bersama komuniti menerusi kaedah penglibatan berasaskan komuniti bagi membolehkan masyarakat setempat terlibat secara langsung.
"Masyarakat perlu diberikan peranan sebagai rakan pemelihara warisan kerana mereka merupakan pemilik pengetahuan, pengalaman dan tradisi yang menjadi sebahagian daripada khazanah negara," katanya ketika berucap merasmikan Program Nostalgia Anak Kampung bertemakan "Kerja Kampung" di Dataran Muzium Negara, di sini, malam Jumaat.
Mengenai fokus kedua, Aaron berkata, kementerian mahu mempercepat pendigitalan khazanah nasional supaya koleksi sejarah dan bahan warisan negara dapat diakses dengan lebih meluas tanpa batasan lokasi dan masa.
"Penggunaan teknologi moden seperti galeri maya, realiti terimbuh (AR) serta kecerdasan buatan (AI) boleh diperluas bagi menyuntik pengalaman penerokaan warisan yang lebih interaktif dan mudah diakses," katanya.
Bagi fokus ketiga yang menjurus kepada usaha menarik minat generasi muda, beliau berkata inisiatif berkenaan digerakkan menerusi Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM), Bermalam di Muzium dan Program Kurator Muda.
Aaron berkata, kajian Universiti Utara Malaysia membabitkan 1,036 responden mendapati golongan muda mempunyai persepsi positif terhadap muzium namun berdepan halangan seperti kekangan masa, kurang maklumat serta persepsi tawaran muzium yang kurang menarik.
Sehubungan dengan itu, katanya, cabaran sebenar institusi permuziuman bukan sekadar meyakinkan generasi muda mengenai kepentingan sejarah, sebaliknya bagaimana menjadikan usaha mengenali sejarah itu lebih memikat, mudah dicapai dan relevan dengan realiti kehidupan mereka.
Selain itu, Aaron berkata, muzium mempunyai hubungan rapat dengan agenda pembinaan negara bangsa memandangkan ia menyimpan memori kolektif negara, dengan setiap komuniti di Malaysia memiliki kisah, sumbangan serta warisan tersendiri sepanjang perjalanan pembentukan negara.
“Semua ini perlu diberikan ruang dalam naratif sejarah nasional supaya rakyat dapat memahami bahawa Malaysia terbina melalui sumbangan bersama. Inilah yang saya maksudkan sebagai shared national identity atau identiti nasional bersama," katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, JMM telah menganjurkan sebanyak 100 program di bawah Citra Nusa, Fiesta Uniti, seminar serta program komuniti, selain meluaskan jaringan bersama 55 rakan strategik dari sektor awam dan swasta termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Program Nostalgia Anak Kampung yang merupakan antara pengisian inisiatif Citra Nusa@Muzium oleh Kementerian Perpaduan Negara, berlangsung mulai Jumaat hingga 8 Nov dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran warisan, bengkel kesenian tradisional dan zoo kampung.
-- BERNAMA