Skip to main content

Malaysia

Ahmad Zahid adakan kunjungan hormat ke atas Erdogan, perkukuh hubungan dua hala dan perdagangan

Ahmad Zahid menyertai sesi bertajuk "Turkiye From Regional Power to Multi-Regional Actor" pada Forum Dunia TRT 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC), pada Jumaat.
Ahmad Zahid menyertai sesi bertajuk "Turkiye From Regional Power to Multi-Regional Actor" pada Forum Dunia TRT 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC), pada Jumaat.
Advertisement

ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, di sini, pada Jumaat dengan perbincangan antara lain tertumpu kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan nilai perdagangan Malaysia-Turkiye.

Pertemuan selama 30 minit bermula 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) itu diadakan sejurus selepas Erdogan merasmikan Forum Dunia TRT 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC), sebelum Ahmad Zahid menyertai sesi bertajuk "Turkiye From Regional Power to Multi-Regional Actor" pada forum berprestij berkenaan.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan sasaran perdagangan dua hala daripada AS$5.6 bilion pada 2025 kepada AS$10 bilion menjelang 2030, susulan penubuhan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSCC) yang mengadakan mesyuarat sulungnya di Ankara pada Jan lepas.

Advertisement

Ahmad Zahid turut menyentuh peranan Turkiye sebagai Rakan Dialog Sektor ASEAN ke-12 serta komitmen Malaysia selaku negara penyelaras bagi hubungan ASEAN-Turkiye untuk memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menzahirkan penghargaan kepada Erdogan atas ketegasan serta komitmen berterusan Turkiye dalam memperjuangkan keamanan serantau, termasuk penglibatan aktif negara itu dalam isu Syria, Lubnan dan Palestin, selain peranan sebagai pengantara konflik Rusia-Ukraine menerusi “Istanbul Process”.

Advertisement

Perbincangan turut merangkumi perkembangan usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran, termasuk inisiatif bersama yang digerakkan Turkiye bersama Pakistan, Qatar serta Arab Saudi.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sokongan padu Malaysia terhadap peranan Turkiye sebagai tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31) yang dijadual berlangsung di Antalya pada 11 dan 12 Nov ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YOK), Prof Dr Erol Ozvar di hotel penginapannya, di sini, selain mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz di ICC.

Ahmad Zahid berada di Turkiye bagi rangka lawatan kerja empat hari bermula 5 hingga 8 Nov sempena penyertaan beliau dalam Forum Dunia TRT 2026.

Forum yang berlangsung selama dua hari itu mengangkat tema "A World Without a Center: Who Leads When the Rules Run Out?" dengan menghimpunkan barisan pemimpin politik, penggubal dasar, ahli akademik, pengamal media serta wakil masyarakat sivil dari seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement