KUALA LUMPUR: Ayam Brand melengkapkan pelaksanaan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharunya, #AyamBersamaMu: Bekal Sihat Masa Depan, yang melibatkan 10 sekolah rendah di 10 negeri di Semenanjung Malaysia.
Menerusi inisiatif itu, syarikat terbabit turut menyalurkan sumbangan makanan kepada 20 rumah anak yatim dan rumah kebajikan di seluruh negara, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 700 penerima.
Pengarah Pemasaran Ayam Brand, Teoh Wei Ling berkata, program berasaskan sekolah tersebut menggabungkan pendidikan pemakanan, aktiviti penyediaan makanan secara praktikal dan amalan kelestarian bagi membantu murid membentuk tabiat pemakanan yang lebih sihat serta memahami kepentingan menjaga alam sekitar.
Menurut beliau, murid didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran praktikal yang dapat membantu mereka membuat pilihan makanan lebih baik dalam kehidupan seharian.
“Bersama inisiatif sumbangan makanan di seluruh negeri, #AyamBersamaMu mencerminkan komitmen berterusan Ayam Brand untuk menjadikan makanan berkhasiat lebih mudah diakses, menggalakkan amalan lestari dalam kalangan generasi muda serta menyokong komuniti yang memerlukan.
“Kami percaya usaha membina masa depan yang lebih sihat bukan sekadar menyediakan makanan berkhasiat, malah turut melibatkan pendidikan mengenai pemakanan, penyediaan makanan dan kelestarian yang boleh diamalkan oleh kanak-kanak sehingga dewasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Program tersebut menampilkan sesi interaktif Ayam Brand Nutrition Health Talk yang dikendalikan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Melalui sesi berkenaan, murid diperkenalkan kepada konsep pemakanan seimbang, kumpulan makanan serta saiz hidangan yang sesuai menerusi pendekatan “Suku-Suku Separuh” yang dipromosikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mereka turut didedahkan kepada kepentingan nutrien seperti protein dan Omega-3 yang terkandung dalam produk Ayam Brand serta peranannya dalam menyokong tumbesaran dan kesihatan.
Selain itu, murid berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari menerusi aktiviti penyediaan makanan dalam kelas Kemahiran Hidup dengan menyediakan hidangan ringkas dan berkhasiat seperti sandwic ayam carik, wrap ayam carik dan nasi ayam carik teriyaki.
Mengulas lanjut, Wei Ling berkata, pelaksanaan kesemua 10 program sekolah dan sumbangan makanan kepada 20 rumah kebajikan membuktikan usaha syarikat itu dalam menggabungkan elemen pendidikan, kemahiran praktikal, kelestarian dan sokongan komuniti.
Katanya, menerusi inisiatif tersebut, Ayam Brand berharap dapat terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sambil menyemai amalan hidup sihat dalam kalangan generasi muda.