KUALA BERANG: Puteri UMNO akan menubuhkan skuad sukarelawan khas di setiap negeri supaya bantuan segera dapat diberikan kepada mereka yang ditimpa bencana.

Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata melalui skuad itu, persiapan serta bantuan kepada mangsa bencana dapat dirancang dengan sempurna selain dapat disalurkan segera sekiranya berlaku musibah seperti banjir di sesuatu kawasan.

Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 300,000 ahli Puteriu UMNO di seluruh negara yang boleh digerakkan sebagai ahli skuad atau sukarelawan di setiap negeri.

"Sebelum ini kita (Puteri UMNO) tidak ada skuad khas bencana. Kita gerakkan sukarelawan ke sesuatu tempat bencana mengikut situasi.

"Dengan penubuhan skuad ini, jika terjadi bencana alam yang tak disangka, kita ada sukarelawan di setiap negeri untuk bantu masyarakat setempat," katanya ketika ditemui pada Program Pembersihan Pasca Banjir Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Dewan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kampung Pengkalan Ajal, di sini hari ini.

Sebanyak 150 sukarelawan Puteri UMNO dari seluruh Terengganu terlibat dalam operasi pembersihan di beberapa lokasi yang terkesan banjir di Hulu Terengganu hari ini.

Semalam, Nurul Amal bersama 150 sukarelawan Puteri UMNO Kelantan turun padang menjalankan operasi pembersihan kediaman penduduk pascabanjir di Kampung Reka di Jeli, Kelantan.

Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu pada 24 Dis lepas memaksa lebih 10,000 penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah seluruh negeri.

Daerah Hulu Terengganu antara lokasi paling terjejas dengan jumlah mangsa menjangkau lebih 4,000 orang.

-- BERNAMA