IPOH: Selain 219 rumah terjejas ketika kejadian puting beliung yang berlaku di sekitar Ipoh pada lewat petang Ahad, kira-kira 100 batang pokok turut tumbang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerja-kerja pembersihan pokok-pokok tumbang itu dilakukan sebaik sahaja selepas kejadian.

Menurutnya, kejadian pokok tumbang itu dapat dikurangkan kerana pihak MBI melakukan kerja-kerja mencantas pokok-pokok besar sejak kebelakangan ini.

“Kita telah putuskan, mana-mana pokok yang tidak sesuai ditanam di bandaraya seperti pokok besar tetapi akar tidak dalam, bukan akar tunjang, terpaksa kita cantas atau sesetengahnya kita ganti dengan pokok lain,” katanya.

Beliau ditemui ketika turun padang untuk meninjau kawasan yang dilanda puting beliung dan menyampaikan bantuan makanan kepada 100 keluarga mangsa yang memerlukan di Taman Tasek Damai di sini, hari ini.

Dalam kejadian puting beliung antara jam 6 hingga 6.30 petang Ahad, sebanyak 219 buah rumah di empat kawasan di Ipoh terjejas.

BACA: Rumah rosak, pokok tumbang akibat 'puting beliung' di Ipoh

Puting Beliung | Beberapa kawasan di Ipoh dilanda puting beliung

Selain Taman Tasek Damai, tiga lagi kawasan yang terjejas ialah Kampung Tawas, Taman Desa Seri Chepor dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya.

Rumaizi berkata, pihak MBI juga akan melakukan kerja-kerja pembaikan kecil manakala kerja-kerja baik pulih kerosakan besar akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat ini kos baik pulih itu melibatkan peruntukan kira-kira RM40,000 untuk pembelian bahan binaan yang diperlukan.

“Kita bernasib baik kerana ramai sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang untuk membantu.

“Selain daripada itu, lebih daripada 100 kakitangan MBI terlibat kerana kita mahu segerakan kerja-kerja baik pulih,” tambahnya.

Rumaizi berkata, pihak jurutera MBI akan membuat penilaian kerosakan rumah serta kemudahan awam seperti dewan dan surau, bagi menentukan peruntukan keseluruhan yang diperlukan.