KUALA LUMPUR: QL Eggs mengagihkan 100,000 biji QL Eggs secara percuma di tujuh lokasi di seluruh negara sempena Hari Telur Sedunia, sambil mengajak masyarakat memahami khasiat telur dan peranannya dalam pemakanan seimbang.
Timbalan Ketua Unit Perniagaan QL Eggs, Dr Fu Siaw Liung berkata, sambutan tersebut memberi peluang kepada syarikat untuk memberi kesedaran tentang khasiat telur, di samping memperbetulkan salah tanggapan dan berkongsi fakta sebenar mengenai nilai pemakanannya.
“Sebagai peneraju industri telur, QL Eggs percaya tanggungjawab kami melangkaui pengeluaran telur yang berkualiti dan berkhasiat.
“Bagi kami, usaha ini bertujuan membantu rakyat Malaysia lebih memahami telur dengan membezakan mitos daripada fakta,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari Telur Sedunia di Lotus’s Cheras.
Menurutnya, pengagihan telur secara percuma itu turut mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pemakanan berkhasiat dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan khasiat telur dalam pemakanan harian.
Sementara itu, Duta QL Eggs yang juga pemain beregu badminton negara, Nur Izzuddin Mohd Rumsani berkata, aspek penjagaan dan pemakanan ayam menjadi antara faktor yang meyakinkannya terhadap jenama berkenaan.
“Saya sangat kagum dengan cara QL Eggs menjaga ayam serta kualiti telur yang dihasilkan. Tempat ayam diternak juga dijaga rapi bagi mengelakkan jangkitan virus,” katanya.
Tambahnya, perhatian terhadap pemakanan ayam turut menjadi antara aspek yang meyakinkannya terhadap QL Eggs.
“Penjagaannya sangat baik, termasuk dari segi pemakanan ayam yang diberi minyak salmon. Makanan yang diberikan berkualiti dan mengandungi asid dokosaheksaenoik (DHA) serta prebiotik,” jelasnya.
Sambutan Hari Telur Sedunia itu turut diperluas menerusi kerjasama dengan Astro Audio di bawah QL Eggs FM, yang menghimpunkan 13 jenama radio dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil.
Di Semenanjung, lokasi agihan melibatkan Lotus’s Cheras, Lotus’s Kota Bharu di Kelantan, Lotus’s Indera Mahkota di Kuantan, Lotus’s E-Gate di Pulau Pinang dan Lotus’s Bukit Indah di Johor Bahru.
Agihan di Sabah pula diadakan di CKS Lido Square, manakala di Sarawak berlangsung di Everrise Vivacity, dengan pemberian satu kotak 6’s bagi setiap penerima selagi stok masih ada.