Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menghantar lapan pakar Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) bagi membantu tugasan forensik dan pencarian mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 di Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kumpulan pertama terdiri daripada enam pegawai dan dua anggota itu dijangka berada di Indonesia selama sebulan dan akan ditempatkan sama ada di Surabaya atau Pengkalan Bun mengikut keperluan.

Pasukan berkenaan terdiri daripada pakar cap jari, jurugambar forensik, pakar siasatan di tempat kejadian serta penyelam berpengalaman, katanya.

"Mereka berpengalaman luas dalam bidang masing-masing kerana pernah bertugas dalam tugasan forensik ketika pencarian mayat mangsa nahas MH17 di Ukraine dan bencana tsunami di Aceh," katanya dalam sidang media sempena majlis pelepasan pasukan DVI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini hari ini.

Mohmad berkata pasukan yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Forensik, Databank DNA/Perancangan Strategik Bukit Aman) SAC Narenasegaran Thangaveloo itu akan ditambah kekuatan anggotanya sekiranya mendapat permintaan daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau berkata misi yang dihantar atas semangat Asean itu dibuat selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berbincang dengan rakan sejawatnya dari Indonesia dan menawarkan kepakaran PDRM untuk membantu dalam pencarian mangsa pesawat malang tersebut.

"Sebenarnya pasukan ini telah bersiap sedia sejurus kemalangan itu dilaporkan, namun diletakkan dalam 'mood standby' setelah pesawat malang itu disahkan milik Indonesia," katanya.

Mohmad berkata misi itu juga diharap dapat memberi pendedahan kepada pasukan DVI, seterusnya memantapkan kemahiran sedia ada anggota untuk kegunaan masa hadapan.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi, 28 Dis (Ahad) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat QZ8501 itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).