KUMPULAN penggodam R00TK1T kembali dengan ancaman akan mendedahkan data pengguna di Malaysia yang berjaya dicuri oleh mereka.

Hampir dua minggu lalu mereka mendakwa berjaya mencuri maklumat pelanggan Maxis. Terbaru, kumpulan penggodam berkenaan mendakwa berjaya mencuri data Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

R00TK1T kini memberikan tempoh 12 jam kepada pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan mengenai kerentanan data yang berlaku hari ini.

Kumpulan berkenaan mengugut, kegagalan untuk mengikuti arahan ini akan menyebabkan data sebesar 27TB yang telah dicuri ditiriskan ke arena web.

Pengumuman telah dilakukan oleh R00TK1T menerusi saluran Telegram.

Tangkapan layar yang dikongsi oleh R00TK1T menunjukkan beberapa salinan MyKad dan dokumen di dalam sebuah folder sistem operasi Windows.

Pihak LPPKN masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kesahihan dakwaan pangkalan data mereka telah berjaya ditembus oleh penggodam.

R00TK1T melabel diri mereka sebagai kumpulan hacktivist yang menggodam bagi mendedahkan kelemahan-keselamatan pada infrastruktur IT organisasi.

Untuk makluman, walaupun terdapat folder bernama PADU pada penggodaman yang diperlihatkan, namun ia bukanlah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menjadi fokus kebelakangan ini, sebaliknya Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan (PAU) adalah di bawah LPPKN.

Sungguhpun begitu R00tK1T tetap mendakwa mereka berjaya menggodam sistem Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dengan amaran diberikan terus kepada Rafizi Ramli dalam mesej terkini yang diterbitkan menerusi Telegram pada ini.