SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berikrar untuk membina 'lantai dan tangga' kesejahteraan supaya setiap rakyat berupaya menjalani kehidupan yang bermaruah.

Rafizi berkata, di peringkat kerajaan, kedudukan fiskal negara seperti keberhutangan, perbelanjaan pembangunan dan seumpamanya kini dalam keadaan kukuh serta mampu melalui sebarang kejutan ekonomi di luar kawalan.

Beliau menjelaskan, ia merupakan hasil beberapa kerangka utama reformasi ekonomi yang dijalankan seperti penghasilan maklumat sosio ekonomi yang tepat melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), usaha membasmi kemiskinan melalui penjanaan pendapatan, penyasaran semula subsidi dan sebagainya.

“Dasar-dasar seperti sektor ekonomi bernilai tinggi dari peralihan tenaga, digital dan teknologi, pertanian moden, dasar gaji progresif, GovTech dan reformasi pasaran kerja adalah komponen tangga yang dipasang satu persatu.

“Tujuannya untuk membina satu persekitaran ekonomi yang menawarkan peluang baharu kepada anak dan syarikat Malaysia yang ingin maju.

"Itulah fungsi sebuah kementerian yang diberi amanah merencanakan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Rabu.

Tambah Rafizi, banyak perkara perlu dilaksanakan serentak dan direalisasikan dengan segera, namun usaha berkenaan bersifat jangka sederhana serta panjang, maka ia wajar dirancang dengan teliti.

Katanya lagi, pengalaman setahun bersama kerajaan sudah memadai untuk memberi gambaran kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan Kementerian Ekonomi.

“Aset terbaik kita adalah ilmu, sikap tidak berputus asa dan kegigihan mencipta nilai.

"Jadi, siapa yang mengusahakan sesuatu dengan sikap ini, insya-Allah senanglah hidupnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian