KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat untuk meraikan sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2021/1443 dengan semangat untuk melakukan perubahan.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, perkara itu perlu dilakukan untuk menyelamatkan negara terutamanya dalam krisis yang dihadapi ketika ini.

"Angka korban terus meningkat. Fasiliti kesihatan semakin tenat. Rakyat hilang mata pencarian. Mendung nestapa terus melindapi negara yang kian sengsara. Tentunya tahun 1442 Hijrah merupakan episod penuh duka dan tragedi buat kita terutama tatkala dirundung malapetaka yang sehingga kini gagal ditangani dengan berkesan.

"Di samping meyakini takdir Allah SWT yang termaktub di Luh Mahfuz, sunnatullah mewajibkan kita selaku hamba-Nya untuk berikhtiar sehabis baik demi menyelamatkan setiap nyawa, dengan menggunakan seluruh kudrat yang ada. Namun perkara ini, menurut hemat pakar-pakar kesihatan dan majoriti rakyat, masih belum dilaksanakan.

"Justeru kita mengimbau sejarah tatkala Saidina Umar menjadikan peristiwa hijrah ke Madinah sebagai landasan tahun Qamariyah, beliau sedar bahawa kitaran tahun baru harus didasarkan pada pembukaan lembaran baru. Maka bukan sekadar hijrah ke tempat baru, tetapi juga menegakkan strategi dan kepimpinan baru," katanya dalam perutusan yang dikongsikan menerusi laman Facebook beliau pada Isnin.

Dalam masa sama, Anwar turut menyeru umat Islam untuk mengambil iktibar dari pergorbanan Nabi SAW dan para sahabatnya yang berhijrah demi meninggalkan pemerintahan pimpinan musykirin Mekah.

"Segala cubaan membeli kesetiaan Nabi SAW dengan sogokan kedudukan dan wang ringgit untuk menerima kepimpinan usang ternyata gagal sama sekali.

"Oleh itu, kesediaan kita meraikan kehadiran bulan Muharram yang mulia ini mestilah disertai dengan semangat hijrah, yakni niat untuk melakukan perubahan. Unggun yang menjadi punca terbakarnya teratak bangsa kita harus segera dipadamkan.

"Hijrah ditunai dengan mengukir muafakat baru demi menyelamatkan negara dari kancah yang membinasakan. Rakyat Malaysia berhak mendapatkan pembelaan sewajarnya," tambah beliau lagi.