Skip to main content

Malaysia

Raja Muda Perlis bangga semangat patriotisme warga PALAPES

utk TB... Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengadakan sesi pertemuan bersama dengan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad ... kredit Istana Arau
Tuanku Syed Faizuddin (kanan) berkenan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Panglima Tentera Darat ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad di Arau. pada Rabu. - Gambar Istana Arau
Advertisement

ARAU: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap tahap disiplin, kesetiaan serta semangat patriotisme yang dipamerkan kontinjen Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Malaysia semasa Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar baru-baru ini.

Baginda bertitah, penyertaan kira-kira 2,000 warga PALAPES yang menghimpunkan 20 universiti awam dari tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia telah mencipta satu sejarah baharu yang membanggakan negeri itu.

Menurut baginda, kesungguhan, keteguhan langkah dan komitmen tinggi yang dipamerkan oleh para pegawai kadet serta jurulatih dalam perbarisan tersebut membuktikan masa depan pertahanan negara berada di tangan generasi muda yang berwawasan serta berazam mempertahankan kedaulatan Raja dan negara.

"Kehebatan yang dipamerkan anak-anak muda ini menunjukkan landasan pertahanan negara terus berada dalam tangan generasi yang mempunyai tekad kukuh demi mempertahankan kedaulatan Raja dan negara tercinta," titah baginda.

Raja Muda Perlis turut mengalu-alukan kehadiran seluruh warga PALAPES ke negeri itu dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan perbarisan berkenaan.

Dalam pada itu, baginda turut menjemput seramai 1,885 Pegawai Kadet bersama keluarga masing-masing untuk menghadiri Istiadat Pentauliahan Diraja Kali Ke-44 yang dijadual berlangsung pada Sabtu di Dataran Kawad Baharu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Titah baginda lagi, semangat, disiplin dan keberanian yang ditunjukkan oleh warga PALAPES perlu terus dipupuk sebagai kekuatan generasi pewaris yang bakal memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

"Semoga semangat sasa dan tekad suci ini terus membara dalam diri setiap warga pahlawan muda sekalian demi Raja, demi negara dan demi Malaysia tercinta," titah baginda.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Panglima Tentera Darat ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad sebelum sesi menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Mengadap Hijau, Istana Arau.

Pertemuan tersebut diadakan bersempena persiapan Istiadat Pentauliahan Diraja Kali Ke-44 serta bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kepimpinan negeri dan Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda menegaskan, penyertaan warga PALAPES dari seluruh negara bukan sahaja mencerminkan kesepaduan generasi muda dalam mendukung pertahanan negara, malah menjadi simbol kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara.

Must Watch Video

Advertisement