KANGAR: Jabatan dan agensi berkaitan diharapkan supaya terus mempergiat usaha memperkasa sektor agromakanan melalui pendekatan moden, inovatif dan berimpak tinggi.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha itu penting bagi memastikan keterjaminan makanan dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, khususnya golongan asnaf.
Advertisement
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga yakin penggunaan teknologi pertanian dapat meningkatkan hasil pengeluaran dan kecekapan pengurusan ladang.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai lebih 100 peserta terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Perlis pada Program Jelajah Agrofest 2026 di Bintong di sini semalam, anjuran Jabatan Pertanian negeri sempena Perlis Agrofest 2026 seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan oleh Istana Arau semalam.
Perlis Agrofest 2026 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas di Sungai Batu Pahat dekat sini yang majlis perasmiannya disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan penyerahan anak ikan kepada tiga asnaf terpilih sebagai inisiatif memperkasa sumber pendapatan golongan sasar.
Baginda kemudiannya berkenan menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM376,000 daripada Pengarah Pertanian Perlis Hafizuddin Othman kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi pelaksanaan Projek Pembinaan Sistem Pertanian Moden (Fertigasi) yang melibatkan 10 asnaf terpilih.
-- BERNAMA