Skip to main content

Malaysia

Raja Permaisuri Agong berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Allahyarham Syed Muhammad Naquib

KUALA LUMPUR, 12 Mac -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara hari ini.  Turut bersama anak perempuan Allahyarham iaitu Sharifah Shifa Al-Attas (kiri).  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, dan Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil.

Advertisement

Seri Paduka Baginda turut menunaikan solat zuhur berjemaah bersama tetamu jemputan yang diimamkan Ustaz Wan Noor Hilmy Wan Ismail dari Bahagian Hal Ehwal Islam Istana Negara.

Pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menerima menghadap anak perempuan Allahyarham, iaitu Sharifah Shifa Al-Attas.

Terkenal sebagai tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam kontemporari, Syed Muhammad Naquib, 94, meninggal dunia pada 6.47 petang, Ahad lepas.

Jenazah pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada 12.30 tengah hari keesokannya.

Allahyarham dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 23 Okt 2024 sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan besarnya kepada pembangunan ilmu serta pendidikan Islam.

Profesor Diraja merupakan gelaran tertinggi yang diberikan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video