MALAYSIA
Raja Permaisuri Agong berangkat ke Projek Bangsa Johor Bahagia 2.0

Raja Permaisuri Agong (kiri) berkenan merasmikan Kelab Suka Belajar sebelum meluangkan masa meninjau bilik kelab berkenaan dan menyantuni kanak-kanak di situ. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Projek Bangsa Johor Bahagia (BJB) 2.0 di Flat Hijau, Taman Plentong Utama, di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Projek BJB 2.0 di Flat Hijau, Taman Plentong Utama, Johor Bahru, termasuk Kelab Suka Belajar yang menyantuni kanak-kanak setempat.
- Projek BJB 2.0 bertujuan memperkasa komuniti berpendapatan rendah, dengan kerjasama UTM, PKPJ dan MBJB, serta sokongan Yayasan Raja Zarith Sofiah dan Kerajaan Johor.
- Kerajaan Johor menyumbang RM1 juta kepada yayasan untuk menjayakan projek ini, manakala penduduk menyambut baik inisiatif yang memberi peluang, ilmu dan sokongan kepada komuniti.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Kelab Suka Belajar sebelum meluangkan masa meninjau bilik kelab berkenaan dan menyantuni kanak-kanak di situ.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima taklimat mengenai aktiviti BJB 2.0 daripada wakil UTM, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), serta sembah ucapan daripada wakil penduduk Flat Taman Plentong Utama.
Seorang penduduk, Izwani Md Noor, 38, menzahirkan rasa bersyukur kerana Projek BJB 2.0 membuka peluang kepada komuniti untuk membuat perubahan.
"Program Bangsa Johor Bahagia ini benar-benar membuka mata dan hati kami. Ia memberikan nafas baharu kepada komuniti - dari segi peluang, ilmu, kesedaran dan sokongan. Kami rasa dihargai oleh pihak Istana, Kerajaan Negeri dan UTM yang sentiasa membimbing kami," katanya.
Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM1 juta daripada Kerajaan Johor kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi Projek BJB 2.0 dan cek cura sumbangan sebanyak RM10,000 setiap satu kepada dua sekolah di bawah program Johor Stars Go Global yayasan itu.
Sebelum berangkat pulang, Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra dan bergambar bersama penduduk setempat.
Projek BJB merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, yang mula dilaksanakan di Rumah Pangsa Kangkar Pulai sejak 2019.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami