MALAYSIA
Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Forum Intelektual Diraja UTM

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Forum Intelektual Diraja UTM, hari ini. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Forum Intelektual Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di universiti berkenaan di sini hari ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Raja Permaisuri Agong yang juga Canselor UTM disambut Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor iaitu Pro-Canselor UTM.
Forum bertajuk 'Teknologi Berjiwa, Tamadun Bermaruah: Inspirasi Kearifan Islam dalam Era Inovasi Digital' itu memberi fokus khusus kepada peranan generasi belia sebagai pewaris masa depan negara agar mereka bukan sahaja celik digital tetapi juga celik nilai.
"Teknologi dilihat bukan sekadar alat hiburan, sebaliknya medium melahirkan penyelesaian lestari, memperkukuh jati diri dan membangunkan tamadun berintegriti," menurut hantaran itu.Pada forum berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Protokol Johor hasil karya Datuk Dr Abdul Rahim Ramli sebagai panduan protokol majlis rasmi di negeri Johor.
Raja Permaisuri Agong juga berkenan menyaksikan penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung Akademi Tamadun Islam UTM kepada Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Felo Utama (Pengarah) Unit Pengurusan Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh.
Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka Baginda berkenan melihat pameran teknologi hasil ciptaan warga UTM seperti hologram, visual realiti dan e-Braille al-Quran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami