Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat untuk berfikir secara rasional tentang tujuan kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menurut beliau, setiap dasar kerajaan adalah untuk kepentingan rakyat, untuk jangka masa panjang.

"Kalau kita fikir secara rasional.. Kita faham setiap dasar kerajaan bertujuan untuk kebaikan rakyat. Jangan tengok sehari dua. Hari ini tanam benih, esok nak buah," katanya ketika merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Jitra, pada Khamis.

Jelas Najib, sistem GST yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan mampu menjamin masa depan negara dengan hasil yang lebih mantap.

Beliau yakin apabila sistem cukai itu diperkenalkan kelak, masa depan negara akan terjamin, justeru meminta rakyat agar memahami hasrat kerajaan dalam melakukan perubahan.

Katanya ini pengertian yang harus disedari di mana jika tiada perubahan, maka negara akan berdepan himpitan ekonomi yang seterusnya membawa kepada kesusahan dan derita pada rakyat.

"Kerajaan mahu lakukan perubahan dan transformasi walaupun dipandang sebagai sesuatu yang tak patut dan tak perlu dilakukan," kata Perdana Menteri.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sr Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda.

Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai berkaitan dengannya, dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada 31 Mac.

Rang undang-undang itu akan melibatkan kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan yang amaunnya belum dapat ditentukan sekarang.

Fasal 56 rang undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada menteri untuk melepaskan mana-mana orang atau golongan daripada pembayaran keseluruhan atau sebahagian cukai boleh dikenakan dan dilevi.

Menurut fasal 64 pula, akta itu tidak terpakai berhubung pembekalan barang atau perkhidmatan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan dan negeri, melainkan jika diarahkan selainnya oleh menteri dalam suatu perintah.

Oktober lepas, semasa pembentangan Belanjawan 2014 di parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April 2015, pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus.