Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat negeri itu supaya sentiasa berhati-hati dengan anasir luar yang boleh memecah belahkan perpaduan umat Islam.

Baginda bertitah orang Melayu juga seharusnya mengelakkan perbalahan sesama sendiri yang boleh mencetuskan unsur porak peranda serta imej buruk kepada kesucian agama Islam.

Titah baginda, perkara itu dilihat telah banyak berlaku dan jika dibiarkan, orang Melayu Islam tidak dapat terus menguasai pemerintahan negara dan kemungkinan akan luput menjadi sejarah.

"Beta amat dukacita kerana ada segelintir orang Melayu Islam sendiri sanggup mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara," titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Masjid Puncak Alam di sini pada Jumaat.

Sultan Sharafuddin turut menyifatkan tindakan segelintir pihak itu seolah-olah menggadaikan maruah bangsa Melayu dan agama Islam yang akhirnya merugikan bangsa sendiri.

Baginda melahirkan rasa kurang berkenan terhadap sesetengah pihak yang menggunakan masjid untuk berpolitik, berceramah tidak mengikut garis panduan ditetapkan serta mempengaruhi umat Islam ke arah yang meragukan dan menyesatkan.

"Beta difahamkan negeri Selangor menjadi tumpuan kumpulan ajaran sesat maka Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan seluruh umat Islam diingatkan sentiasa berwaspada mencegah perkembangan ajaran ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menasihatkan rakyat Selangor supaya berjimat cermat dan tidak berbelanja berlebihan sempena sambutan Aidilfitri minggu depan bagi mengelakkan pembaziran.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 342 fakir miskin, 150 anak yatim dan 100 mualaf serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih bersama hadirin.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Kompleks Masjid Puncak Alam bernilai RM30 juta itu dibangunkan oleh Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) Tan Sri Rozali Ismail yang mewakafkannya kepada Perbadanan Wakaf Selangor.

Kompleks masjid seluas empat hektar yang terletak di bandar Puncak Alam itu siap sepenuhnya pada 20 Jun 2014 dan mampu memuatkan 5,000 jemaah.