Wakil tunggal sukarelawan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh yang ditahan tentera Israel di Penjara Givon, berasa seperti berada di zon perang ketika kapal flotila Al-Awda membawa ubat-ubatan ke Gaza ditawan tentera Israel pada kedudukan 49 batu nautika dari perairan Gaza.

Mohd Afandi yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Selasa malam, berkata kapal berkenaan dikepung 12 bot tentera laut Israel termasuk tiga kapal perang biarpun hanya membawa bekalan ubat, sedangkan semua benda yang boleh mengancam keselamatan tentera Israel sudah dicampak ke laut.

"Malah garpu juga saya campak ke laut kerana tidak mahu tentera Israel berasa terancam. Namun kapal kami tetap dikepung dengan tentera bersenjatakan mesingan dan diarahkan belayar ke perairan Israel," katanya.

Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berusia 47 tahun yang menetap di Terengganu itu selamat tiba di tanah air selepas dibebaskan oleh tentera negara berkenaan pada Isnin.

Mohd Afandi dibebaskan selepas ditahan di penjara Israel selama kira-kira 36 jam.

BACA: Misi Al-Awda: Tahanan Malaysia tidak dipukul Israel

BACA: Ahli misi Al-Awda dipukul, direnjat dengan elektrik

Beliau tiba di KLIA pada 7.40 malam dengan pesawat Thai Airways dari Bangkok. Sebelum itu, Mohd Afandi menaiki pesawat Israel Airlines El Al dari Tel Aviv ke Bangkok.

Jelasnya, beliau dibebaskan tentera Israel selepas dipaksa menandatangani surat perakuan bahawa dia menceroboh perairan Israel.

"Saya meminta untuk menandatangani surat akuan itu di hadapan peguam saya. Ia bukan bermakna saya mengakui kesalahan itu tetapi saya perlu keluar dan pulang ke tanah air kerana risaukan kesihatan ibu di Terengganu," katanya.

Mohd Afandi berkata pihak berkuasa Israel membelikan tiket penerbangan ke Malaysia dan ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, beliau meminta pertolongan seorang pelancong rakyat Malaysia bernama Darren untuk menghantar WhatsApp kepada isterinya bahawa dia akan pulang pada Selasa.

"Kesemua wang tunai sebanyak 496 euro dan telefon bimbit dirampas tentera Israel. Saya pulang dengan tidak membawa apa-apa," katanya.

BACA: Dua aktivis dari kapal Al-Awda dibebaskan

BACA: Kapal Al-Awda sah ditawan Israel

Mohd Afandi berlepas dari KLIA pada 15 Julai untuk menyertai misi kapal flotila Al-Awda yang membawa 116 kotak ubat-ubatan ke Gaza.

Misi tersebut dikenali sebagai solidariti flotila 'Right to A Just Future for Palestine'.

Kapal flotila Al-Awda yang berlayar menggunakan bendera Norway membawa 22 aktivis dari 16 negara termasuk penyokong hak asasi manusia, wartawan dan krew turut membawa kargo ubat-ubatan bernilai Euro 13,000 (RM61,554) bagi diserahkan kepada penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.

Bagaimanapun kapal berkenaan ditawan tentera Israel pada 29 Julai, iaitu hari kesembilan pelayaran dan kesemua sukarelawan ditahan dalam penjara Givon di Israel. -- Bernama