SHAH ALAM: Bekalan ganja hidroponik seberat empat kilogram yang dirampas pihak berkuasa India daripada seorang rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Sabtu lalu, dipercayai diperoleh dari Bangkok, Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata perkara itu dikenal pasti berdasarkan siasatan awal pihak berkuasa India terhadap suspek.
"Dia bawa daripada Bangkok. Jadi, kita sudah dapatkan butiran mengenai siapa dia, kewarganegaraan, penerbangan dan sebagainya.
"Kita percaya dia mengambil bekalan daripada Bangkok. Kita akan pantau sama ada dia mempunyai penglibatan di Malaysia atau adakah dia antara 'keldai dadah' yang direkrut dan direkodkan di Thailand atau Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Selasa.
Menurut Hussein, hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki berusia 54 tahun dari Perak itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kata beliau, suspek dipercayai menaiki penerbangan Thai Airways TG337 dari Bangkok ke Chennai pada 8 Ogos lalu sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.
Hussein berkata, JSJN menerima maklumat rasmi berhubung penahanan itu daripada Biro Kawalan Narkotik (Narcotics Control Bureau) India.
"Suspek kini ditahan pihak berkuasa India dan disiasat mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1985 (NDPS)," katanya.
Katanya, JSJN akan terus berhubung dengan NCB India bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai kes berkenaan, termasuk menyiasat rangkaian sindiket yang dipercayai terbabit.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai cuba keluar melalui Laluan Hijau tanpa membuat sebarang pengisytiharan kepada pihak kastam.
Pemeriksaan menggunakan mesin imbasan sinar-X mendapati bagasi daftar masuk suspek menunjukkan imej mencurigakan sebelum ia diperiksa secara terperinci.
Hasil pemeriksaan menemukan empat bungkusan mengandungi bahan berwarna kehijauan berbentuk berketul dengan bau kuat dan menyengat.
Di bawah NDPS Act 1985 yang dikuatkuasakan di India, kesalahan menyeludup atau memiliki dadah dalam jumlah komersial boleh membawa hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun serta denda jika disabitkan kesalahan.