SEMPORNA:Rakyat Malaysia terus menunjukkan tanda solidariti kepada Sabah berikutan saban hari negeri di bawah bayu itu merekodkan kes baharu COVID-19 tertinggi di negara ini.

Sebanyak 16 daripada 26 daerah di Sabah dikategorikan sebagai zon merah, manakala sembilan daerah lagi adalah zon kuning dan Tongod satu-satunya daerah di Sabah yang masih mengekalkan zon hijau.

Merujuk kepada solidariti itu, tinjauan Bernama di Semporna mendapati pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian dari serata Malaysia menghulurkan sumbangan kepada penduduk serta petugas barisan hadapan.

Ketua Pasukan Semporna Heroes Jamilah Ang Kher Lern ketika dihubungi berkata keadaan kes COVID-19 yang membimbangkan itu turut dirasai rakyat Malaysia di Semenanjung mahupun Sarawak.

"Buktinya hari ini, kita menerima sumbangan dari Kuala Lumpur, Kuching, Shah Alam, Seremban dan Putrajaya yang diterbangkan ke Tawau dengan kerjasama pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia," katanya semalam.

Menurut Jamilah, antara sumbangan itu adalah makanan kering daripada Kembara Kitchen, serta pelitup muka, pelindung muka, set 'isolation gown' dan pembalut kasut but.

Katanya juga, sebelum ini pihaknya turut menerima pelbagai sumbangan termasuk kewangan yang kemudian digunakan untuk membeli barang keperluan dan diedarkan kepada penduduk termasuk komuniti Pala'u.

Beliau berkata tanda solidariti itu sesungguhnya membawa kemudahan untuk penduduk di Semporna sekali gus mengelak isu kemanusian berlaku kesan daripada kes COVID-19 ini.

"Sumbangan berterusan ini membolehkan Semporna Heroes meneruskan usaha mengagihkan pek-pek makanan kepada golongan yang terjejas sekitar Semporna," katanya dan menambah dengan bantuan agensi kerajaan dan pasukan keselamatan seperti Pasukan Polis Marin (PPM), proses menghantar bantuan makanan menjadi lebih mudah.

"Kami bersyukur kerana sumbangan orang ramai tidak putus-putus untuk membantu golongan yang terjejas di daerah ini...pemberian bantuan akan diteruskan selagi dana bantuan masih diterima daripada orang ramai," katanya.

Jamilah berkata keselamatan dan kesihatan sukarelawan Semporna Heroes tidak diabaikan kerana mereka juga lengkap memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika mengagihkan bantuan.

Sementara itu, William Cheah daripada Kembara Kitchen berkata misi seterusnya ialah untuk menghantar bantuan ke Sandakan serta Kota Kinabalu, katanya dalam hantaran Facebook yang kemudian dikongsikan Facebook Semporna Heroes.

Pada Isnin, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam catatan Facebook berkata hasil kerjasama Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan dengan Semporna Heroes berjaya membantu kira-kira 1,000 penduduk Semporna.

"Sebahagian kutipan yang diperoleh telah dibelanjakan bagi membeli beras dan barangan keperluan dapur untuk 1,000 penerima yang terjejas akibat penularan jangkitan COVID-19," katanya yang terharu melihat kesungguhan sukarelawan Semporna Heroes yang sanggup memasuki kawasan berisiko bagi mengagihkan bantuan.

Kempen Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan dengan kerjasama Semporna Heroes berjaya mengumpul dana RM52,365 selepas seminggu dilancarkan.

Semalam, Sabah merekodkan 410 kes baharu COVID-19 dengan dua kematian, berbanding 927 kes pada Isnin.

-- BERNAMA