Tinggal dua hari lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijadualkan berakhir, namun ramai yang masih degil apabila 61 individu direman atas kesalahan ingkar arahan PKPB, pada Sabtu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 159 individu termasuk 28 daripada kompaun itu dikeluarkan di sekatan jalan raya.

Sementara itu katanya, sebanyak 225,345 kenderaan diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat Sabtu berbanding 293,181 pada hari sebelumnya.

"Pemeriksaan tersebut dibuat dalam 133 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan yang sama, Ismail berkata Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 72,889 pemeriksaan pada Sabtu bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 7,740 operasi sanitasi merangkumi 132 zon setakat Sabtu.

“Sebanyak 11,252 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,650 pusat perniagaan, bangunan kerajaan (4,309 , kawasan perumahan termasuk PPR (1,584), tempat awam (2,357) dan pasar raya (352).

“Semalam (Sabtu) sebanyak 48 operasi sanitasi dilakukan di 38 zon membabitkan 12 negeri antaranya Sabah sebanyak 11 operasi sementara Johor, Sarawak dan Terengganu masing-masing enam operasi," katanya.