1. SETELAH beredar episod Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Kabinet PN berundur diri, kini rakyat menunggu pula wakil rakyat yang dipilih ke Parlimen membuat pilihan siapa akan menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri.

2. Dari satu sisi memang memilih calon Perdana Menteri dilihat satu lagi pertarungan politik yang melelahkan. Akan tetapi memang negara memerlukan seorang nakhoda paling layak untuk melayari bahtera negara ini. Tanpa PM yang layak, berpengelaman, berwibawa dan berintegriti tinggi, sudah tentu negara ini akan hanyut dan sesat di lautan tidak bertepi dan akan hancur dipukul badai.

3. Soalnya bagaimana setiap Ahli Parlimen akan membuat pilihan melalui Surat Akuan yang akan menentukan calon PM yang akan menguasai majoriti.

4. Nampaknya sekali lagi rakyat terpaksa menunggu wakil mereka menentukan nasib negara ini.

5. Bermakna sekarang setiap 220 wakil rakyat itu perlu membuat pilihan dengan rasa sanubari dan gerak hati yang sepatutnya melangkaui parti dan kepentingan diri.

6. Kriteria memilih wakil rakyat untuk calon PM itulah yang sepatutnya menjadi timbang tara yang diguna oleh mereka. Kriteria pemimpin yang berjiwa rakyat pada kata dan amalan itulah yang sepatutnya dipilih.

7. Memilih dengan akal budi yang jernih atas prinsip dan agenda berkhidmat membela rakyat, bukan atas ketaasuban dan kepentingan peribadi. Mengukur calon yang sepatutnya menjadi  PM untuk negara bukan untuk kelompok elit dan ahli politik penting diri ini.

8. Lantaran rakyat kini dalam keadaan sangat perit dan meruncing, sudah tentu budaya politik lama iaitu saling mengadu-domba dan politik penting habuan mesti ditolak.

9. Rakyat akur kerajaan baharu perlu ditubuh dan seorang Perdana Menteri perlu dipilih. Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa berdasar Perlembagaan untuk melantik Perdana Menteri.

10. Di saat ini wakil rakyat diuji sejauh mana mereka mendahulu dan mengutamakan ciri kepimpinan yang benar-benar berkualiti. Memilih seorang Perdana Menteri yang boleh membawa visi segar memandu negara keluar dari kemelut meruncing yang sedang dialami sekarang.

11. Rakyat mendambakan seorang Perdana Menteri yang merasai degup nadi dan ratap tangis rakyat dan yang sanggup berkorban sehingga suara rakyat tetap diutamakan.

12. Rakyat tidak mahu pemimpin yang mengguna kuasa untuk memenuhi tembolok mereka yang rakus dengan kekayaan dan hidup mewah, berada ditampuk kekuasaan elitis.

13. Kami menolak wakil rakyat yang menjual diri untuk habuan jawatan dan kekayaan bila menawar undinya untuk menyokong seorang calon PM.

14. Cukuplah politik kotor dan khianat serta politik mengadai maruah yang selama ini sinonim dengan politik negara ini .

15. Rakyat tidak dapat menyertai dalam memilih calon Perdana Menteri. Tetapi rakyat akan membuat keputusan calon mana yang akan ditolak atau diterima di PRU nanti.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM