KUCHING: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak membuktikan keyakinan rakyat Bumi Kenyalang terhadap kebijaksanaan serta kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merencana dasar dan pembangunan negeri itu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kemenangan dengan majoriti besar menerusi calon muka baharu Iskandar Turkee turut menandakan hanya GPS mampu diberi mandat bagi merancakkan pembangunan di Jepak.

"Ini jelas membuktikan keyakinan rakyat dan ini ialah PRK pertama yang kita adakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN), jadi ini adalah tanda penerimaan terhadap kepimpinan Premier kita dalam mengemudi Sarawak.

"Ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap dasar dan program pembangunan yang telah kita laksanakan selain hala tuju yang beliau bawa ke Sarawak terutama Strategi Pembangunan PASCA COVID-19 2030," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Persekutuan Persatuan Veterinar Asia Ke-22 dan Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia Ke-33 di sini malam ini.

Pada PRK itu, Iskandar memperoleh 9,638 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Stevenson Joseph Sumbang daripada Parti Bumi Kenyalang yang hanya meraih 854 undi dan Chieng Lea Phing, yang mendapat 431 undi.

Jumlah majoriti sebanyak 8,784 undi yang diperoleh Iskandar pada PRK itu adalah lebih dua kali ganda berbanding majoriti 4,243 undi yang diraih dalam PRN lepas.

-- BERNAMA