Rakyat Sarawak yang berada di Semenanjung dan mengalami kesulitan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digesa untuk menghubungi organisasi Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ini antara inisiatif bagi membantu rakyat negeri itu yang mengalami masalah seperti putus punca pendapatan ekoran tempoh sukar ini.

“Kita telah menerima pelbagai laporan kes. Ada yang mengadu kepada saya dan saya meminta mereka berhubung dengan Rumah Sarawak, dan masalah mereka segera diselesaikan

“Jadi sekarang terutamanya kepada mereka yang menjana pendapatan secara harian, hilang pekerjaan, menyewa rumah, makan dan sebagainya, mereka boleh menghubungi Rumah Sarawak,” katanya.



Ujarnya lagi, perhatian turut diberikan kepada pelajar yang menuntut di pelbagai institusi pengajian di Semenanjung.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian JPBN Sarawak pada Isnin di Kuching.

Untuk makluman, antara objektif Rumah Sarawak adalah berfungsi sebagai platform dalam menerima maklum balas rakyat di Semenanjung untuk disampaikan kepada pihak pentadbiran negeri itu.