IPOH: Perancangan pembangunan lapangan terbang antarabangsa di Perak tertakluk kepada hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) Kementerian Pengangkutan yang sedang dijalankan ke atas semua 42 lapangan terbang sedia ada di seluruh negara.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kajian itu dijalankan mulai 7 Mac lepas dan dijangka dimuktamadkan 7 September tahun hadapan.

"Ia memberi tumpuan kepada unjuran permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan lapangan terbang sedia ada," katanya ketika menggulung perbahasan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata pembinaan lapangan terbang baharu akan meningkatkan limpahan ekonomi negeri dan tanah tersebut merupakan tanah milik dan perjanjian jual beli telahpun dimeterai.

Beliau turut memaklumkan pengauditan telah dijalankan oleh Jawatankuasa Audit Bagi Tujuan Pemantauan Pelaksanaan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di negeri ini terutama di Hulu Perak yang dimulakan di atas tanah seluas 87 hektar (216 ekar) pada 16 Disember lepas.

"Penemuan audit untuk pusingan pertama ekstrak hasil aktiviti perlombongan menunjukkan aktiviti dilaksanakan dalam kawalan dan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta tiada sebarang kesan negatif terhadap persekitaran," katanya.

Katanya di peringkat Persekutuan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah melantik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri sebagai agensi pemantau bagi memastikan pematuhan projek perintis itu terhadap SOP NR-REE.

-- BERNAMA