Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menjangkakan rangka pindaan undang-undang berkenaan perlindungan data di negara ini dapat siap dalam tahun ini.

Ia sebagai kemas kini kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 untuk memastikan ia sejajar dengan perkembangan baharu dunia bagi menjamin keselamatan data setiap pengguna di Malaysia.

Menurut beliau, ketika ini, pihaknya masih giat menjalankan kerja-kerja pengumpulan maklumat daripada perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan untuk tujuan itu.

“Kita telah mulakan sejak tahun lepas, tapi ia masih dalam proses.

“Saya harap dalam tahun ini kita boleh lihat rangka yang baru yang boleh digunakan untuk kita bawa cadangan pindaan ke Parlimen,” katanya selepas merasmikan Persidangan EU-GDPR Kuala Lumpur 2019 pada Isnin.

Berlangsung selama dua hari, persidangan itu dihadiri delegasi dalam dan luar negara untuk membincangkan impak GDPR, atau Peraturan Perlindungan Data Am di Malaysia dan negara-negara bukan anggota Kesatuan Eropah (EU).

GDPR adalah undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen EU pada April 2016, yang tertakluk kepada setiap organisasi yang mengumpul, menyimpan dan memproses sebarang maklumat yang dimiliki rakyat EU.

Undang-undang tersebut antaranya memperuntukkan hukuman berat kepada mana-mana pihak yang melanggarnya.

Perkembangan itu antara yang dilihat Gobind perlu diambil kira dalam proses kemas kini PDPA supaya ia seiring keperluan semasa, lebih penting memberi jaminan keselamatan khususnya dalam hal perdagangan dan perniagaan.

“Kita melihat satu dunia di mana ekonomi telah merentas sempadan negara dan semua negara mempunyai syarikat-syarikat dari negara lain.

“Jadi soalnya bagaimana kita boleh memastikan undang-undang di negara kita juga up-to-date dan berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengalu-alukan lebih banyak sesi dialog dan perbincangan berkenaan perihal perlindungan data dalam membantu usaha kementeriannya itu dari masa ke masa.