PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM50,000 kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berhubung saman berkaitan kenyataan fitnah.

Semasa prosiding dalam talian Hakim Datuk Lee Swee Seng memberitahu peguam terlibat bahawa pihak mahkamah tidak dapat mendengar rayuan hari ini memandangkan mereka perlu menghadiri mesyuarat pada pukul 3 petang ini.

Terdahulu mahkamah mendengar beberapa rayuan kes lain di sebelah pagi, yang berlarutan hingga pukul 2 petang, dan mahkamah mempunyai dua lagi kes yang perlu didengar hari ini termasuk rayuan Muhammad Sanusi.

Lee bersama dua lagi panel hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kemudian mengarahkan supaya pengurusan kes diadakan esok bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.

Pada 8 Nov lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhammad Sanusi membayar RM50,000 sebagai ganti rugi selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Mahfuz.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran turut memerintahkan Muhammad Sanusi menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman Facebook milik defendan dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos tindakan guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.

Pada 9 Okt 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat oleh Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Peguam Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili Muhammad Sanusi, manakala Mahfuz diwakili peguam Noorazmir Zakaria.

-- BERNAMA