MALAYSIA
Rayuan pendakwaan dalam kes bunuh bekas CEO Cradle Fund didengar pada 10 Nov ini

Tarikh berkenaan iaitu 10, 11 dan 12 Nov ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah menetapkan tiga hari bermula 10 November ini untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja yang didakwa membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.
Wan Mohammad Arfan Wan Othman, seorang daripada peguam yang mewakili Samirah dan remaja terbabit, mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama.
Tarikh berkenaan iaitu 10, 11 dan 12 Nov ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof dan Mahyun Yusof.
Pada 8 Feb 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.Mahkamah Tinggi pada 21 Jun 2022, membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja tanpa dipanggil membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Samirah, 50, yang juga balu Nazrin, kedua-dua remaja, kini berusia 22 dan 19 tahun serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi esoknya.
Ketika mengekalkan pembebasan mereka, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tiada keterangan yang mencukupi untuk membuktikan bahawa mereka bersalah.
Mahkamah Rayuan turut memutuskan bahawa tiada keterangan yang mencukupi bagi membuktikan bahawa kebakaran yang berlaku adalah disengajakan kerana terdapat bukti bercanggah daripada pihak Jabatan Kimia dan penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami