KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti tambahan berhubung dana RM42 juta mulik SRC International Sdn Bhd boleh menghakis integriti badan kehakiman.

Jelas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, badan kehakiman sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Zahid turut menyatakan UMNO berdukacita dengan keputusan itu.

Ia turut memandang berat pendedahan terhadap Hakim, Datuk Mohd Nazlan berhubung tuduhan penglibatan beliau dalam penubuhan SRC International, sedangkan beliau adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas Najib.

Dakwa Zahid, kedudukan Datuk Mohd Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan.

Ia termasuklah bagaimana wang RM42 juta, iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development, boleh dipindahkan ke akaun Najib, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau.

Jelasnya, menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana Hakim yang sedang mendengar sesuatu kes, jika mendapati ia sedang berada di dalam keadaan konflik kepentingan dengan kedudukannya samada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim, perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut.

Lebih parah lagi katanya, jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan.

Katanya, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, namun mesti dilihat telah dilaksanakan.


Pada Selasa, Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan pasukan pembelaan Najib untuk memasukkan bukti baharu, berkaitan rayuan berhubung SRC International Sdn Bhd.

BACA: Isu SRC: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib Razak untuk masukkan bukti baharu

BACA: "UMNO, BN setia bersama Najib di waktu susah dan senang" - Ahmad Zahid