KUALA LUMPUR: Rayuan Tan Sri Tommy Thomas dan 12 lagi untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor N. Sundra Rajoo berhubung penahanan serta pendakwaan salah terhadapnya, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Jun.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Alan Gomez yang mewakili bekas peguam negara itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache semasa pengurusan kes saman itu yang diadakan menerusi prosiding dalam talian.

Berikutan itu, Alan memohon mahkamah untuk menangguhkan prosiding saman itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Memandangkan tiada bantahan daripada peguam Surendra Annath yang mewakili Sundra Rajoo, mahkamah menetapkan 4 Julai bagi pengurusan kes.

Selain Thomas, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull, beberapa pegawai SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Khong Hui Li, Mohd Adrian Zaiman Zainiar, Md Yusrin Md Yusof, Mohd Fadhly Mohd Zamry, T. Nesavan, Mr. Sharan Raj, Hasmizzy Md Hasim, Kamal Baharin Omar dan Mohd Zaki Mohd Salleh serta SPRM dan kerajaan Malaysia.

Defendan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Julai tahun lepas yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman Sundra Rajoo.

Dalam pernyataan tuntutannya, Sundra Rajoo menyatakan bertindak atas arahan Mohamad Shukri dan Thomas, pegawai SPRM Mohd Adrian dan Md Yusrin telah menahan beliau secara salah dari 8 malam pada 20 Nov 2018 hingga 5 petang keesokan harinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa penahanan itu adalah bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sundra Rajoo berhujah Mohd Adrian dan Md Yusrin telah menahan beliau walaupun telah dimaklumkan bahawa beliau telah diberikan keistimewaan serta kekebalan ejen diplomatik atas kapasitinya sebagai Pengarah AIAC ketika itu.

Berikutan itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau telah direman serta dipecat daripada jawatannya sebagai Pengarah AIAC dan akibat penahanan itu, beliau telah dicemuh dan reputasinya terjejas.

Beliau menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi teruk dan teladan serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA