Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing hanya berjumlah RM5.7 bilion.

Menurutnya, kerugian yang diaudit itu terkandung dalam Laporan Tahunan Kementerian Kewangan Tahun 1993.

Malah, Anwar juga mendedahkan angka itu turut disebut di dalam Parlimen sambil memetik beberapa kenyataan Hansard Dewan Rakyat antara 1994 hingga 2012.

BACA: Zeti mengetahui kerugian Forex BNM di London

BACA: Saya turut bertanggungjawab kerugian urus niaga mata wang - Nor Mohamed

Anwar yang merupakan Menteri Kewangan sewaktu urusniaga mata wang asing tersebut tiba dengan kawalan ketat oleh pegawai penjara. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

"Laporan itu sudah keluar dan kerugiannya adalah RM5.7 bilion dan kami tidak dapat menjelaskannya. Kita perlu menerangkannya. Saya telah jelaskan yang surat juru audit negara terbatas kepada perbincangan dengan BNM. Apa yang kami bawa ke Kabinet adalah hasilnya.

"Pada bulan April 1994, kami sebut RM9 bilion. Apa yang kami katakan juga kerugian atas kertas dan forward position. Kerugian RM5.7 bilion kekal di situ. Di Parlimen pada 24 September, 2012, saya ketika Menteri Kewangan menyebut kerugian pada awal 1990-an adalah RM5.7 bilion seperti mana yang dinyatakan dalam laporan BNM.

"Ia masih kekal RM5.7 bilion pada 2007. Saya harus beritahu apa yang diputuskan selepas perbincangan di antara Bank Pusat dengan juru audit negara," katanya pada prosiding Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkenaan urus niaga matawang asing oleh BNM sejak 1988 hingga 1994.


Pegawai pengendali RCI, Julia Ibrahim sebelum itu mengemukakan surat daripada Timbalan Gabenor Tan Sri Lin See Yan, bertarikh 1 April 1993, yang mengesahkan kerugian BNM kepada Anwar dan panel.

Surat tersebut menyatakan kerugian urus niaga itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Anwar mengesahkan tidak ada mana-mana jemaah Menteri yang berjumpa dengannya yang menyatakan kekeliruan terhadap kenyataan.

Justeru tegasnya, angka tersebut perlu kekal kerana ia adalah kerugian yang diaudit dan tiada bantahan atau pindaan terhadap jumlah itu.

Semalam bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sewaktu memberikan keterangan berkata, berdasarkan maklumat dalam laporan "Accounting Treatment 1988-1984" bertarikh 18 April 2007, jumlah kerugian urus niaga terbabit ialah RM32.074 bilion selepas mengambi kira keuntungan RM2.473 bilion bagi tahun 1990.