Skip to main content

Malaysia

RCI penting teliti unsur di sebalik kerugian pelaburan TH

KUALA LUMPUR: Lebih 26,000 surat tawaran haji bagi musim 1447H/2026 telah dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH), selepas bakal jemaah memenuhi syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing, kata Ketua Jabatan Haji Mohd Hisham Harun.
Muhammad Hasbi berkata dalam memahami istilah “sakau”, ia tidak seharusnya dilihat hanya sebagai perbuatan mengambil wang atau harta pihak lain untuk kepentingan diri secara tidak sah. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penelitian menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) penting, bagi menentukan sama ada kerugian pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) berpunca daripada kelemahan dalam membuat keputusan pelaburan atau terdapat unsur lain di sebaliknya, kata Senator Muhammad Hasbi Muda.

Ahli Dewan Negara itu berkata meskipun kerugian merupakan perkara biasa dalam aktiviti pelaburan dan tidak semestinya menunjukkan berlakunya jenayah, isu membabitkan TH perlu dilihat secara menyeluruh berikutan jumlah pelaburan bermasalah yang dibangkitkan.

Beliau berkata daripada 14 pelaburan yang dicadangkan untuk menjalani audit forensik, separuh daripadanya mengalami kerugian 100 peratus, selain kedudukan TH antara 2014 hingga 2018 yang menurutnya menyaksikan liabiliti melebihi aset.

“Kerugian itu kita boleh lihat daripada hasil siasatan itu, adakah kerugian itu memang kelemahan panel pelaburan ataupun ada sesuatu yang tak kena di sebaliknya.

“Kalau kesalahan itu straightforward macam pencuri tabung masjid, kita tak perlu kepada RCI… tetapi dalam kes Tabung Haji ini, dia sistemik. Dia suatu salah laku ataupun penyelewengan yang sukar ditentukan dengan cara yang biasa. Jadi itu kita perlu kepada RCI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ketika menjadi penal dalam program bual bicara terbitan stesen televisyen tempatan, baru-baru ini yang turut menampilkan pakar ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai sebagai panel.

Muhammad Hasbi berkata dalam memahami istilah “sakau”, ia tidak seharusnya dilihat hanya sebagai perbuatan mengambil wang atau harta pihak lain untuk kepentingan diri secara tidak sah.

Beliau berkata ia boleh difahami dalam konteks lebih luas termasuk manfaat dalam bentuk jawatan, kenaikan pangkat atau keuntungan lain yang diperoleh dengan cara salah, selain perbuatan seperti tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Barjoyai berkata kelemahan dari segi tatacara, tadbir urus dan kawalan dalaman antara perkara yang perlu diberi perhatian, dalam menilai permasalahan lampau Lembaga TH.

Beliau berkata antara kelemahan itu berkaitan kaedah penilaian pelaburan yang menurutnya dilakukan sendiri oleh pasukan pengurusan dan lembaga pengarah, berbanding penilaian secara objektif oleh pihak profesional dan bebas.

Pensyarah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu berkata isu rosot nilai pelaburan pula telah berlaku sejak 2014 dan ditunjukkan oleh juruaudit PricewaterhouseCoopers (PwC), namun menurutnya perkara itu tidak dilaporkan termasuk selepas amaran diberikan.

“Memang semua nilai adalah satu keputusan discretion kerana tidak ada nilai yang sangat tepat. Tapi kalau ia dilakukan secara objektif oleh pasukan bebas, ia akan menjadi lebih baik…ini kesan daripada kesilapan institusi itu dari segi tatacara, dari segi governance, dari segi kawalan dalaman,” katanya.

Berikutan itu, Barjoyai berpandangan TH perlu menilai semula keupayaannya mengurus pelaburan sebagai antara langkah pembaharuan yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang.

Beliau berkata sekiranya TH mahu memberi tumpuan kepada pengurusan jemaah dan urusan haji, fungsi pengurusan pelaburan boleh dipertimbang untuk diserahkan kepada institusi pelaburan lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Bagaimanapun, Barjoyai berkata sekiranya TH mahu terus mengurus pelaburannya sendiri, perubahan besar perlu dilakukan, bagi memastikan institusi itu mempunyai tadbir urus, tatacara serta kaedah penilaian yang profesional dan lengkap.

Laporan RCI setebal 252 muka surat itu telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas dan dibahaskan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement