KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang diberikan kepada ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan TH Properties Sdn Bhd kerana bayaran berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurut laporan yang diterbitkan hari ini, bonus berjumlah RM1.148 juta dibayar kepada Lembaga Pengarah TH Properties bagi tahun 2017, manakala RM1.045 juta lagi dibayar pada 2018.
RCI berkata pembayaran berkenaan dibuat walaupun terdapat isu pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai proses kelulusan dan tadbir urus syarikat terbabit.
Sehubungan itu, Suruhanjaya mengesyorkan usaha diambil bagi mendapatkan semula bonus berkenaan memandangkan pembayaran tersebut didapati tidak mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
Tegur amalan bonus berlebihan
Pada masa sama, RCI turut menegur amalan pemberian bonus yang tinggi dalam kalangan kakitangan TH ketika institusi itu berdepan tekanan kewangan.
Menurut laporan itu, kakitangan TH menerima bonus antara dua hingga 13 bulan gaji sepanjang tempoh tertentu antara 2010 hingga 2017, dengan jumlah peruntukan bonus bagi tahun 2014 sahaja mencecah RM74 juta.
RCI berpandangan amalan sedemikian tidak wajar diteruskan memandangkan kedudukan kewangan sebenar TH ketika itu berdepan pelbagai cabaran termasuk isu defisit aset dan liabiliti serta penurunan nilai beberapa pelaburan.
Menurut Suruhanjaya, amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan perlu dihentikan bagi memastikan pengurusan kewangan TH dilaksanakan secara lebih berhemat dan selari dengan kemampuan sebenar institusi berkenaan.
RCI sebelum ini mendapati TH sebenarnya berada dalam kedudukan kewangan yang lebih lemah daripada yang digambarkan dalam penyata kewangannya, termasuk dapatan bahawa institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 sekiranya piawaian pelaporan kewangan diguna pakai sepenuhnya.
Untuk rekod, RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.
Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022.
RCI diberikan tempoh enam bulan untuk menjalankan siasatan sebelum menyiapkan laporan akhirnya pada 19 Julai 2022 dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos tahun sama.