KUALA LUMPUR: Kira-kira 70 aktivis dari pelbagai negeri berhimpun di hadapan bangunan Parlimen pada Selasa bagi menyatakan solidariti sempena sidang khas perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji.
Perhimpunan yang turut disertai Wanita Keadilan Pusat itu diadakan sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempertahankan amanah pendeposit serta memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan Tabung Haji.
Pada perhimpunan itu, memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Memorandum berkenaan diterima Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi pihak menteri, manakala seorang pegawai menerimanya bagi pihak Perdana Menteri.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sekretariat Perpaduan Madani, Amidi Abdul Manaf berkata kerugian yang dialami Tabung Haji berpunca daripada kelemahan tadbir urus serta tindakan mengejar keuntungan tanpa mengambil kira risiko yang terlibat.
"Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan, kita menuntut ketelusan yang lebih tinggi dalam aspek tadbir urus, termasuk dalam agensi-agensi kerajaan.
"Kita juga ingin menegaskan bahawa tidak boleh ada mana-mana pihak yang cuba berkompromi atau bertolak ansur dengan segala bentuk kesalahan dan penyelewengan yang telah berlaku.
"Itulah hasrat dan tekad kita, iaitu untuk memastikan institusi-institusi yang berkhidmat kepada masyarakat dibersihkan daripada segala bentuk penipuan dan salah guna kuasa, demi mengembalikan kepercayaan rakyat serta menjamin tadbir urus yang lebih berintegriti pada masa hadapan," katanya.
Peserta perhimpunan turut membawa mesej supaya kepentingan dan hak pendeposit terus diberi perhatian, khususnya dalam memastikan pengurusan Tabung Haji dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
Perhimpunan itu dipantau pihak berkuasa bagi memastikan keadaan terkawal.