Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji jadi pengajaran, kewangan sosial Islam perlu kukuh tadbir urus

KUALA LUMPUR, 22 Julai -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zulkifl berkata, laporan RCI Tabung Haji perlu dijadikan pengajaran bagi mengenal pasti kelemahan dan kepincangan yang berlaku. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kewangan sosial Islam perlu diperkasa dengan memberi penekanan terhadap aspek integriti, tadbir urus dan ketelusan bagi memastikan sektor itu terus diyakini serta mampu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) perlu dijadikan pengajaran bagi mengenal pasti kelemahan dan kepincangan.

Menurut beliau, penemuan RCI membuktikan bahawa kelemahan dalam sesebuah institusi boleh berlaku apabila aspek integriti dan tadbir urus tidak diberikan perhatian sewajarnya.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah memberitahu, menjelaskan dan meneliti laporan RCI.

"Ini membuktikan bahawa kita perlu belajar antara satu sama lain mengenai kelemahan dan kepincangan yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Multaqa Shariah Intellectual Discourse in Islamic Social Finance 2026 (MULTAQA 2026), di ibu negara hari ini.

Zulkifli berkata, pendedahan RCI itu wajar dijadikan panduan dalam memperkukuh pengurusan kewangan sosial Islam, khususnya membabitkan institusi dan organisasi yang menguruskan dana masyarakat.

Katanya, kewangan sosial Islam bukan sekadar berkaitan usaha membantu golongan memerlukan, sebaliknya turut menuntut pengurusan yang profesional dan bertanggungjawab.

“Kita perlu melihat kewangan sosial Islam yang memerlukan integriti, tadbir urus dan ketelusan,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperbesar peranan kewangan sosial Islam tanpa menangani persoalan berkaitan integriti dan tadbir urus boleh menjejaskan imej Islam itu sendiri.

“Jika kita membesar-besarkan peranan kewangan sosial Islam tetapi pada masa sama gagal mengendalikan isu tadbir urus dan integriti, ia akan menjadi satu penghinaan kepada Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak yang terbabit dalam sektor kewangan sosial Islam supaya bersama-sama memulakan gerakan memperkukuh integriti, tadbir urus dan ketelusan.

Katanya, usaha berkenaan perlu melibatkan semua pemain dalam sektor itu termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi lain.

Beliau berkata, pengukuhan aspek berkenaan penting bagi membantu organisasi terbabit meningkatkan tahap profesionalisme serta keupayaan mengurus dana dan program secara lebih berkesan.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telah melaksanakan pelbagai kursus dan latihan kepada NGO Islam berkaitan tadbir urus dan pengurusan kewangan.

Zulkifli berkata, walaupun sebahagian NGO Islam tidak berada secara langsung di bawah portfolionya, pihaknya tetap mengambil pendekatan untuk membantu meningkatkan keupayaan pengurusan organisasi terbabit.

Katanya, NGO berkenaan tertakluk kepada pendaftar masing-masing termasuk Pendaftar Pertubuhan, Pendaftar Belia dan badan pendaftar lain.

“Kami juga telah mengadakan pelbagai kursus dan latihan untuk NGO Islam dari segi tadbir urus, perakaunan dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat keperluan untuk mewujudkan satu piawaian khusus bagi NGO Islam yang terlibat dalam kewangan sosial Islam.

Menurut beliau, piawaian itu penting bagi memastikan organisasi terbabit mempunyai garis panduan yang jelas dalam aspek tadbir urus, integriti, kewangan dan akauntabiliti.

Zulkifli berkata, walaupun terdapat piawaian antarabangsa berkaitan tadbir urus NGO yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu kerangka khusus untuk NGO Islam perlu dipertimbangkan.

 

Must Watch Video

Advertisement